Skandal video ujian terbesar buat PH: Rafizi

Rafizi - Foto Bernama
Rafizi - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Skandal video yang dikaitkan dengan seorang menteri Kabinet merupakan ujian terbesar dihadapi Pakatan Harapan dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas bergelar kerajaan.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, kerajaan dan badan-badan di bawahnya perlu menguruskan isu itu dengan baik agar tidak menjejaskan kepercayaan rakyat.

"Setiap parti dan kerajaan akan ada ujian besar. Saya bersetuju bahawa ini ujian besar kepada PH sejak ambil alih kerajaan.

"Tetapi pada masa sama ia juga bergantung kepada bagaimana kepimpinan kerajaan dan badan-badan kerajaan menguruskan perkara ini. Jika siasatan pihak berkuasa itu telus, bebas dan tiada campur tangan, itu akan menguatkan lagi kepercayaan rakyat kepada PH," katanya kepada media di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Parlimen Pandan di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Ditanya mengenai dakwaan bahawa beliau dan kem Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim terlibat sebagai dalang penyebaran video, Rafizi menyifatkan ia sebagai tuduhan yang jahat.

"Sama ada video itu fitnah atau tidak hanya boleh ditentukan oleh pihak berkuasa. Apabila ada spekulasi pihak tertentu terlibat, itu hanya akan mendatangkan fitnah kali kedua, ketiga dan seterusnya.

"Kalau benar ada dalang dalam parti terlibat, sudah tentu pihak berkuasa akan tahu selepas siasatan. Jadi, lebih baik kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk siasat," katanya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Azmin desak pucuk pimpinan PKR siasat dalang penyebar video intim

Berkenaan gesaan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali agar pucuk pimpinan parti lebih bertegas menyiasat kes itu, Rafizi berkata, beliau percaya parti akan membuat keputusan sewajarnya jika ada keperluan.

"Untuk berlaku adil kepada Mohamed Azmin, saya yakin parti akan siasat dan jelaskan. Kalau ada persoalan politik perlu dijelaskan, maka parti perlu jelaskan asalkan proses itu dibuat dengan bebas," katanya.