Sampel air diambil di enam lokasi perkampungan Kuala Koh

No Image Caption
A
A
A

GUA MUSANG- Jabatan Kimia telah mengambil sampel air membabitkan enam lokasi di perkampungan Kuala Koh, yang digunakan penduduk Orang Asli suku Bateq di kampung berkenaan.

Ahli Kimia di Jabatan Kimia Malaysia, Dr Mohamad Rafiq Sulaiman, berkata lokasi sampel diambil oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) berpandukan nasihat Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

“Hasil analisa yang dijalankan terhadap sampel air itu mendapati, tiada sebarang pencemaran logam berat atau bahan kimia.

"Kita turut jalankan analisa kimia dan hasilnya terdapat penemuan e-coli.

"Enam lokasi sampel diambil adalah kawasan sekitar perkampungan Kuala Koh,” katanya ketika ditemui di Felda Aring 10, di sini, hari ini.

Sebelum ini, terdapat badan bukan kerajaan (NGO) juga mendakwa sampel air berkenaan diambil di lokasi lain yang tidak menjadi sumber air penduduk Orang Asli Kuala Koh.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perlaksanaan Operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Azizan Abu Taat, turut meluahkan rasa kecewa apabila terdapat pihak yang memburukkan keadaan mengatakan perkampungan itu tidak diberi kemudahan air bersih.

Azizan berkata, lawatan selama 30 minit mendapati terdapat tiga sumber air di perkampungan itu termasuk telaga tiub, tadahan air bukit dan tangki Air Kelantan Sen Bhd (AKSB).

Artikel Berkaitan: