Jalan sekitar Johor Bahru perlu dinaiktaraf

Akmal (dua,kanan) menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak yang menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya dan Rumah Terbuka Parlimen Johor Bahru di sini, hari ini.
Akmal (dua,kanan) menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak yang menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya dan Rumah Terbuka Parlimen Johor Bahru di sini, hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jalan-jalan di sekitar Johor Bahru perlu dinaiktaraf dan dibaik pulih demi keselamatan pengguna.

Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir akui keadaan jalan yang berlubang di beberapa kawasan perlu dibaiki dan dicat semula.

"Saya ambil maklum tentang aduan keadaan jalan yang mungkin tidak diselenggara dengan baik. Memang perkara ini kita bincang dalam mesyuarat dan dibawa ke peringkat Datuk Bandar.

"Secara keseluruhan saya memang akui kita perlu baikpulih dan naik taraf jalan-jalan di Johor Bahru ini. Permukaan jalan itu perlu rata, kambus mana-mana lubang tapi janganlah kambus dua tiga hari tapi pecah balik.

No Image Caption

"Kemudian dari segi garisan-garisan jalan raya ini kalau perlu dicat semula kerana ini sangat penting dari segi keselamatan terutama di waktu malam dan hujan," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya dan Rumah Terbuka Parlimen Johor Bahru di sini, hari ini.

Sehubungan itu beliau berharap semua pihak termasuk pihak berkuasa dapat bekerjasama bagi memastikan isu penambahbaikan kondisi jalan raya di Johor Bahru ini dapat ditingkatkan.

Selain itu, menyentuh isu banjir kilat di sekitar Johor Bahru, beliau meminta orang awam termasuk peniaga agar tidak mengambil kesempatan demi kepentingan sendiri.

Artikel Berkaitan:

"Pernah berlaku banjir besar di Taman Abad di mana kita percaya ada pihak yang tidak bertanggungjawab telah menutup longkang-longkang.

"Jadi bukan sahaja tanggungjawab pihak kerajaan tempatan, penduduk termasuk para peniaga perlu bertimbang rasa dan jangan membuat perkara yang memudaratkan orang lain. Jangan halang saliran air," katanya.

Beliau turut akui keadaan longkang dan parit telah uzur dan perlukan usaha menambah baik seperti yang dijalankan di Kg Melayu Majidee bagi memastikan tidak berlaku bencana terutama ketika hujan lebat.

Beliau menyeru orang ramai agar membuat aduan yang lengkap terhadap apa-apa isu supaya memudahkan aduan disalurkan kepada pihak sepatutnya.