Perlumbaan perahu naga erat perpaduan

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Tey Kok Kiew dan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong serta barisan kenamaan lain menyempurnakan simbolik perasmian dengan berkayuh perahu naga dan membuang kuih chang.
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Tey Kok Kiew dan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong serta barisan kenamaan lain menyempurnakan simbolik perasmian dengan berkayuh perahu naga dan membuang kuih chang.
A
A
A

MELAKA - Penganjuran Perlumbaan Perahu Naga Antarabangsa Melaka yang diadakan setiap tahun mampu menjadi medan perpaduan kaum di negeri ini.

Acara yang diperkenalkan sejak 36 tahun lalu itu, bukan hanya disertai masyarakat Tionghua, malah kaum lain turut mengambil bahagian dalam perlumbaan yang semakin menyerlah tahun ini.

Ketua Menteri Adly Zahari berkata, pembabitan pelbagai kaum dalam satu pasukan membuktikan perpaduan yang perlu dibentuk dalam mencapai satu misi, iaitu kemenangan.

“Untuk mencapai kemenangan, semua anggota pasukan harus bersatu hati dan menggabung tenaga. Dalam konteks realiti di Malaysia, rakyat berbilang kaum juga harus bersatu padu menjaga keamanan negara dan pembangunan negeri," katanya, dalam teks ucapan perasmian yang dibacakan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Tey Kok Kiew.

Perlumbaan anjuran bersama Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kota Melaka, Jawatankuasa Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Japerun) Kota Laksamana dan Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) itu turut menyaksikan kehadiran Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong, Adun Kota Laksamana Low Chee Leong, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PPSPM Azlan Abidin serta Presiden Persatuan Perahu Naga Negeri Melaka Datuk Wong Soo Tang.

Sementara itu, Poay Tiong berkata, program yang bermula sejak jam 8 pagi itu berjaya mengumpul lebih 1,000 pengunjung termasuk peserta perlumbaan yang membabitkan 35 pasukan bertanding termasuk pasukan dari Singapura.

Turut menarik perhatian apabila seorang guru dari Negeri Sembilan, menyertai pasukan perahu naga Melaka pada pertandingan terbabit.

Kiew Sieng Eik, 32, guru matematik dan bahasa Inggeris di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Yik Hwa, Negeri Sembilan itu berkata, ini adalah kali kedua dia menyertai pertandingan perlumbaan perahun naga di Melaka.

Artikel Berkaitan:

“Dulu saya tidak pernah berkayuh atau terbabit dengan sukan air, namun sejak melihat iklan mengenai perlumbaan ini kira-kira dua tahun lalu, saya ajak beberapa rakan untuk menyertai pasukan kerana berlumba perahu naga adalah kebudayaan masyarakat Cina.

“Saya gembira mengambil bahagian ini kerana dapat beriadah dan bertemu pesaing-pesaing untuk saling berkenalan," katanya yang menyertai pasukan NewBie Dragon dari Melaka.