Kes denggi di Melaka meningkat 300 peratus

Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri Low Chee Leong bersama salah satu pasukan yang menyertai Perlumbaan Perahu Naga Antarabangsa Melaka 2019 di Muara Sungai Melaka, Banda Hilir, di sini hari ini.
A
A

MELAKA - Kes demam denggi di negeri ini mencatatkan peningkatan apabila 904 kes dicatatkan sejak 1 Januari hingga 8 Jun lalu, berbanding hanya 225 kes sepanjang tempoh sama tahun lalu.

Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Low Chee Leong berkata, peningkatan 301.78 peratus itu amat membimbangkan malah apabila kes terbabit turut meragut lima nyawa berbanding tiada kematian dalam tempoh sama pada 2018.

Menurutnya, daerah Melaka Tengah mencatatkan kes paling tinggi, 665 kes diikuti Alor Gajah dan Jasin masing-masing 125 dan 114 kes.

“Kita akui masalah berpunca daripada kebersihan yang semakin merosot di Melaka dan kerajaan negeri meminta rakyat memberi kerjasama menjaga kebersihan serta membasmi tempat pembiakan nyamuk Aedes bagi mengurangkan risiko berkenaan.

“Walaupun pelbagai usaha sudah dilaksanakan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) termasuk program gotong-royong serta pemeriksaan berkala di kawasan yang disasarkan, tanpa kerjasama penduduk usaha pencegahan ini tidak dapat dilaksana sepenuhnya," katanya, ketika ditemui pada majlis Perasmian Perlumbaan Perahu Naga Antarabangsa Melaka 2019 di Muara Sungai Melaka, Banda Hilir, di sini hari ini.

Majlis tersebut disempurnakan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Tey Kok Kiew yang mewakili Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari.

Mengulas lanjut Chee Leong berkata, terdapat 66 wabak yang dilaporkan di negeri ini membabitkan 62 wabak telah tamat dan hanya empat wabak dilaporkan masih aktif.

“Empat lokasi menjadi tumpuan ialah Taman Merlimau Baru, Jalan Masjid, Taman Bemban Jaya dan Rumah Awam Pondok Kempas di Jasin," katanya.

Mengikut rekod, 193 kes demam denggi dicatatkan pada Januari lalu diikuti 145 kes pada Februari, 192 kes (Mac), 159 kes (April), 160 kes (Mei) dan setakat 8 Jun, 55 kes direkodkan bulan ini.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia