Kes denggi di Labuan menurun, HFMD meningkat

Kes HFMD dilaporkan meningkat kepada lebih 900 kes namun keadaan terkawal. - FOTO INTERNET
Kes HFMD dilaporkan meningkat kepada lebih 900 kes namun keadaan terkawal. - FOTO INTERNET
A
A
A

LABUAN - Jumlah kes demam denggi di pulau bebas cukai ini menurun sejak bulan lepas bagaimanapun, kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) mencatatkan peningkatan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan, Dr Ismuni Bohari berkata, sebanyak 28 kes denggi dilaporkan sepanjang enam bulan ini, menurun 38 peratus berbanding 36 kes pada tempoh sama tahun lepas manakala kes HFMD meningkat kepada lebih 900 kes, bagaimanapun keadaan terkawal.

“Dalam enam bulan pertama tahun lepas, sebanyak 246 kes HFMD direkodkan dengan kurang daripada 10 tadika dan pusat penjagaan kanak-kanak diarahkan tutup, peningkatan penyakit berjangkit dalam kalangan kanak-kanak ini disebabkan oleh faktor lazim iaitu cuti sekolah yang panjang yang boleh disimpulkan sebagai HFMD yang diimport.

“Jabatan telah mengeluarkan peringatan kepada tadika dan pusat penjagaan kanak-kanak untuk sentiasa berjaga-jaga terhadap kemungkinan wabak,” katanya kepada Bernama.

Mengenai kes denggi, Dr Ismuni berkata Labuan merupakan antara negeri yang berjaya mengawal wabak itu dengan penurunan kes yang drastik. - Bernama

Artikel Berkaitan: