Polis keluar 338 saman dalam Op Motosikal

Anggota Polis dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur melakukan pemeriksaan ke atas sebahagian motosikal yang ditahan pada Operasi Motosikal dan Pelbagai Kesalahan Lalulintas di Jalan Bangsar menghala pusat bandar malam tadi. - FOTO BERNAMA

A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis memeriksa lebih 750 motosikal dan mengeluarkan 338 saman atas pelbagai kesalahan dalam Operasi Motosikal di Jalan Pahang, Jalan Raja Laut dan Jalan Bangsar malam tadi.

Pegawai Turus (Penguatkuasaan) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur DSP Mohd Safiee Ishak berkata, operasi berkenaan khusus untuk menurunkan kadar kemalangan jalan raya di Kuala Lumpur dalam kalangan pengguna kereta dan motosikal.

“Kami telah membuat tangkapan ke atas seorang lelaki yang berumur 23 tahun kerana disyaki menaiki motosikal curi dan turut menyita dua motosikal yang diubah suai dan disyaki memalsukan nombor pendaftaran kenderaan.

“Empat penunggang pula didapati positif dadah dan seorang lagi dibawa untuk ujian alkohol kerana disyaki menunggang motosikal dalam keadaan mabuk,” katanya kepada pemberita pada Op Motosikal di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bangsar di sini.

Operasi yang bermula 10.30 malam itu melibatkan enam pegawai dan 69 anggota polis trafik dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur. - Bernama

Artikel Berkaitan: