Federalisme jamin hal ehwal Islam

A
A

SEBAGAI sebuah negara yang mengamalkan konsep federalisme, Malaysia mempunyai dua badan pembuat undang-undang utama iaitu Parlimen dan Dewan Negeri. Kedua-dua badan ini mempunyai fungsinya yang tersendiri.

Selain Malaysia, Australia dan Amerika Syarikat juga mengamalkan sistem negara persekutuan atau federal ini. Namun Persekutuan Malaysia adalah agak berbeza dengan persekutuan negara-negara lain dari sudut hubungan antara persekutuan dan negeri.

Hubungan antara persekutuan dan negeri-negeri dalam Malaysia dinyatakan secara khusus di dalam Bahagian VI Perlembagaan Persekutuan umpamanya Perkara 74 Perlembagaan Persekutuan bahawa Parlimen mempunyai kuasa menggubal undang-undang dalam perkara yang dinyatakan Senarai Persekutuan dan Senarai Bersama, manakala Dewan Negeri pula mempunyai kuasa menggubal undang-undang dalam perkara dinyatakan Senarai Negeri dan Senarai Bersama.

Dalam hal yang demikian, fungsi kedua-dua badan ini telah digariskan. Ia seharusnya saling lengkap melengkapi antara satu sama lain. Namun penulis tidak berhasrat untuk membincangkan isu perlembagaan ini, cukuplah sekadar menyatakan antara perkara yang ujud di dalam Senarai Negeri ialah hal ehwal berkaitan dengan agama Islam bagi negeri-negeri selain wilayah-wilayah Persekutuan.

Dalam erti kata lain, Islam terletak dalam bidang kuasa negeri. Hal yang demikian dapatlah difahami kerana sultan merupakan Ketua Agama bagi negeri baginda dan Yang di-Pertuan Agong bagi negeri tidak beraja. Keharmonian ini ditambahkan lagi apabila setiap sultan atau raja yang menaiki takhta Yang di-Petuan Agong dan timbalannya, baginda perlu bersumpah memelihara Islam pada setiap masa.

Hal ini bukan hanya tradisi yang berlaku setelah negara mencapai kemerdekaan malah, dengan kedatangan Islam ke Alam Nusantara, undang-undang adat juga membuat penyesuaian di dalam suasana dan persekitaran Islam secara berperingkat sehingga adat Melayu dan aturan Islam bertaut dalam landskap pemerintahan raja Melayu seperti pepatah Melayu yang menyatakan:

Adat bersendikan syarak,

Syarak bersendikan Kitab ALLAH,

Syarak mengata adat memakai,

Cermin yang tidak kabur,

Pelita yang tidak padam.

Malah sejak sebelum penjajahan lagi, Islam memainkan peranan utama dalam masyarakat Melayu Nusantara. Tatkala penjajah datang kedudukan agama Islam terutamanya di dalam undang-undang keluarga Islam tidak diusik. Undang-Undang 99 Perak umpamanya mengusir orang yang tidak berpandukan al-Quran dan sunnah ke dalam hutan, pemimpin yang tidak mempercayai al-Quran dan sunnah juga tidak layak menerajui kepimpinan negeri.

Raja-raja mempunyai kuasa yang besar dalam hal ehwal Islam. Kuasa raja-raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam semasa penjajahan pun juga tidak disentuh.

Ibn Naqib al Misri di dalam bukunya al umdat wa al salik menyatakan fungsi raja ialah:-

a) Menjaga hal ehwal umat Islam.

b) Memastikan kedaulatan agama Islam terpelihara.

c) Memastikan syariat ALLAH ditegakkan

d) Memastikan umat Islam belajar hukum-hakam agama.

e) Mengembangkan syiar Islam melalui dakwah dan penaklukan.

f) Mempertahankan negara Islam dari pencerobohan kuasa kuffar.

g) Memudahkan dan memberi khidmat kepada jemaah haji.

h) Mengimami solat Jumaat secara sendiri atau wakil dan

i) Menjadi wali hakim.

Berbalik kepada hal ehwal Islam yang terletak dalam bidang kuasa negeri ini, sudah tentulah perkara yang sedikit ini merupakan autonomi kepada negeri di dalam menegakkan syiar Islam selain di wilayah-wilayah Persekutuan. Hal yang demikian termasuklah penubuhan majlis agama negeri, mufti, mahkamah syariah dan jabatan agama. Hal ehwal Islam sebagai perkara negeri ini bukanlah hanya deklarasi sahaja. Ia ada kesan perundangan dan implikasi besar terhadap hubungan Persekutuan dan negeri-negeri.

Dalam erti kata lain kerajaan Persekutuan tidak boleh mencampuri urusan agama Islam kerana ia urusan negeri yang diketuai oleh Ketua Agama melainkan mendapat perkenan daripada raja-raja Melayu.

Walaupun Islam dalam bidang kuasa negeri kerajaan Persekutuan tidak berlepas tangan mengabaikan urusan Islam. Itulah sebabnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia ditubuhkan bukan untuk mencampuri urusan agama negeri tetapi sebagai wadah penyeragaman pentadbiran agama di negeri-negeri di mana negeri mempunyai hak mutlak sama ada mengikuti ataupun tidak.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia

PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.