Islam ubah cara hidup

A
A
A

KEDATANGAN Islam ke Tanah Melayu telah mengubah cara hidup masyarakat Melayu menjadi semakin baik, sama ada daripada segi pemakanan, pakaian, pergaulan mahupun tingkah laku. Islam bukan sekadar suatu sistem kepercayaan atau akidah tetapi ia jauh lebih besar kerana ia merupakan suatu cara hidup.

Islam menjadikan penganutnya lebih tertib, teratur serta memiliki adab yang tinggi sebagaimana yang diajar dalam al-Quran serta sunnah.

Sebagai sebuah agama yang lengkap, Islam bukan sahaja memberi panduan dalam persediaan menghadapi akhirat tetapi juga dalam mentadbir negara dan ekonomi. Pentadbiran negara akan menjadi lebih baik jika pemimpin yang dipilih mentadbir berlandaskan ajaran Islam dengan bersikap adil dan jujur serta tidak menyalahgunakan kuasa dalam urusan pentadbiran.

Daripada sudut ekonomi, Islam turut menganjurkan konsep muamalat iaitu urusan jual beli yang dibenarkan dalam syariat. Antaranya adalah melaksanakan urusan perniagaan dengan jujur dan amanah serta menjauhi amalan riba. Selain itu, konsep zakat juga membantu golongan miskin dan fakir serta asnaf lain kerana zakat adalah fardu atau wajib ke atas setiap orang Islam yang memenuhi segala syarat-syarat wajib. Secara tidak langsung, ini juga akan menjadikan ekonomi negara semakin mantap.

Selain daripada itu, penerapan konsep amar makruf nahi mungkar dalam kalangan masyarakat dapat melahirkan masyarakat yang sentiasa prihatin dan saling membantu antara satu sama lain dalam mencegah kemungkaran. Masalah sosial juga dapat dikurangkan jika setiap anggota masyarakat memainkan peranan masing-masing.

Penjagaan kebersihan juga amat dituntut dalam Islam. Ia meliputi kebersihan diri, pakaian, tempat tinggal serta persekitaran. Kebersihan diri sangat dituntut dalam Islam untuk memastikan ibadah yang dilaksanakan diterima oleh ALLAH selain untuk kesihatan tubuh badan.

Atas sebab inilah setiap Muslim wajib berwuduk terlebih dahulu sebelum menunaikan solat. Dalam hal ini sahaja kita dapat lihat umat Islam perlu membersihkan diri sekurang-kurangnya lima kali sehari sebelum melaksanakan solat lima waktu yang diwajibkan ke atas setiap Muslim yang memenuhi syarat.

Maka, amatlah menyedihkan sekiranya umat Islam mengabaikan kebersihan. Sebagai contoh, bandar Kota Bharu yang terkenal dengan imej bandar raya Islam dan sepatutnya menjadi contoh bagi bandar-bandar lain di Malaysia mempunyai tahap kebersihan yang agak mengecewakan. Walaupun pihak berkuasa tempatan (PBT) bertungkus-lumus menjaga kebersihan bandar, sikap penduduk yang gemar membuang sampah merata-rata mencacatkan pemandangan.

Artikel Berkaitan:

Kutipan sampah di Kota Bharu adalah sekitar 360 tan metrik sehari dan 10,800 tan merik sebulan. Apabila tiba musim perayaan, dengan pertambahan penduduk dan perantau pulang ke kampung untuk bersama keluarga masing-masing, lebih 1,000 tan metrik sampah dibuang setiap hari. Jumlah itu cukup banyak sehingga tidak dapat diuruskan dengan baik oleh PBT.

Aspek kebersihan negeri Kelantan turut disentuh oleh Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Faiz Petra, ketika bertitah dalam Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 di Kompleks Kota Darulnaim pada Julai 2018.

Menurut baginda, kurangnya keprihatinan masyarakat di negeri Kelantan berhubung kepentingan penjagaan kebersihan dan alam sekitar menjadi faktor utama yang menyebabkan Kelantan sering menjadi sasaran dalam isu kebersihan.

Saya berterima kasih dan mengucapkan syabas kepada pihak kerajaan negeri yang begitu komited dengan pendekatan kempen pembudayaan kebersihan dalam kalangan masyarakat di samping penguatkuasaan berterusan yang dijadikan fokus utama PBT. Antaranya, menguatkuasakan undang-undang kecil PBT seperti mengeluarkan kompaun kepada mana-mana pihak atau individu yang didapati melakukan kesalahan berkaitan kebersihan.

Bagi mereka yang pernah ke Jepun, boleh dikatakan agak mustahil untuk melihat sampah sarap dibuang di merata tempat, malah tandas mereka juga sentiasa bersih dan kedai makan sentiasa kemas dan rapi.

Semoga penduduk Malaysia dapat mencontohi masyarakat Jepun yang majoritinya bukan Islam dalam hal menjaga kebersihan kerana kesucian serta penjagaan kebersihan amat dituntut dalam Islam. Sesungguhnya, amalan hidup Islam yang sebenar akan mengubah seluruh kehidupan kita kepada yang lebih baik.