Ahli politik Pakistan tular gara-gara 'telinga kucing'

Sidang akhbar ahli politik Shaukat Yousafzai dari Parti Tehreek-e-Insaf di Pakistan tular gara-gara filter kucing. - Foto Samaa tv
Sidang akhbar ahli politik Shaukat Yousafzai dari Parti Tehreek-e-Insaf di Pakistan tular gara-gara filter kucing. - Foto Samaa tv
A
A
A

PESHAWAR - Seorang ahli politik di Pakistan menjadi tumpuan apabila sidang akhbarnya yang distrim secara langsung di laman Facebook memperlihatkannya mempunyai misai dan telinga kucing.

Sidang akhbar Shaukat Yousafzai dari Parti Tehreek-e-Insaf (PTI) menjadi tular Jumaat lalu apabila salah seorang anggota pasukan media sosialnya secara tidak sengaja telah mengaktifkan filter kucing.

Komen mula mencurah masuk apabila pengguna Facebook yang menonton sidang akhbar itu melihat telinga dan misai kucing di kepala ahli politik berkenaan dan dua orang pegawainya.

"Shaukat Yousafzai kelihatan seperti seekor kucing, meow meow meow," tulis seorang pengguna Facebook.

Yousafzai mengesahkan insiden tersebut berlaku kerana kesilapan manusia yang tidak disengajakan.

"Filter kucing tersebut diaktifkan secara tidak sengaja," kata Yousafzai yang enggan mengambil serius insiden terbabit.

Sementara itu, pasukan media sosial parti PTI memaklumkan, segala tindakan perlu telah diambil bagi mengelak insiden seumpama itu berlaku lagi. - AFP

Artikel Berkaitan: