Timbalan Menteri nafi ATM serap 75 belia India

frg
A
A

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Pertahanan,Senator Liew Chin Tong menafikan kenyataan yang dikeluarkan Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran yang mendakwa seramai 75 individu komuniti India diserapkan ke dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menurut Chin Tong, hasil perjumpaan Kementerian Pertahanan dengan Kementerian Sumber Manusia tidak membawa kepada keputusan seperti yang dinyatakan Kula Segaran menerusi status Facebooknya.

Oleh itu, beliau membuat penjelasan mengenai isu status Facebook Kula Segaran dan laporan sebuah surat khabar Tamil yang menyatakan Kementerian Pertahanan bersetuju untuk mengambil semua 75 orang belia berbangsa India yang telah dilatih oleh Askar Wataniah walaupun 60 orang daripada mereka tidak memenuhi kelayakan.

“Fakta tersebut tidak benar. Kementerian Pertahanan tidak pernah memberi jaminan untuk mengambil kesemua pemohon tersebut ke dalam Wataniah.

“Pihak Kementerian bersetuju untuk kaji semula permohonan-permohonan tersebut supaya mereka yang memenuhi syarat kemasukan tetapi tercicir sebelum ini boleh dipertimbangkan semula.

“Keutamaan kemasukan ke dalam perkhidmatan sukarela Wataniah diberi kepada calon-calon yang mempunyai kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) , Sijil Pelajaran Malaysia Vokasional (SPMV), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) , Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM )atau setaraf atau tamat tingkatan 5,” katanya dalam satu kenyataan media.

Namun, tambah Chin Tong, Wataniah juga mempertimbangkan calon-calon yang memiliki Sijil Penilaian Menengah Rendah (PMR) atau Pentaksiran Tingkatan tiga (PT3) atau sekurang-kurangnya tamat tingkatan tiga di sekolah bantuan kerajaan serta boleh bertutur, membaca dan menulis dalam Bahasa Malaysia dengan memuaskan. Kelonggaran ini diberi tanpa mengira kaum dan agama.

Terdahulu, Kula Segaran melalui status Facebook menyatakan seramai 75 belia India diserap sebagai tentera hasil daripada perbincangan kementeriannya dengan Kementerian Pertahanan. Manakala 60 daripada mereka tidak mempunyai kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Kula Segaran berkata, Kementerian Pertahanan ketika zaman pemerintahan BN berjanji akan menyerap mereka yang dilatih oleh Askar Wataniah sebelum PRU14 sebagai tentera, namun telah dimungkiri.

Dalam kenyataan itu juga menyebut beberapa NGO India juga sudah beberapa kali cuba menghubungi ATM bagi menyelesaikan isu tersebut namun tidak dilayan.

Kenyataan Kulasegaran itu bagaimanapun dipadam selepas 16 jam dipaparkan.