Najjah pecah tembok diskriminasi saiz

A
A
A

AKTIVIS dan pengacara rancangan The Fitting Show, Paddy Smyth pernah membutirkan bicara bahawa fesyen itu bersifat universal yang tiada sempadan antara individu bertubuh langsing, gempal waima kelompok orang kelainan upaya.

Pemuda berusia 30 tahun yang mengalami masalah Cerebral Palsy itu turut menjelaskan, setiap manusia di dunia ini berpeluang tampil cantik dan segak mengikut cita rasa fesyen pilihan.

"Umum mengetahui, fesyen, stail ataupun gaya ialah hak milik semua orang tanpa mengira bentuk badan, latar belakang dan status.

"Masing-masing berhak kelihatan menawan dengan menyarungkan busana selesa dan diminati. Jangan sesekali berasa rendah diri apabila penampilan kita berbeza dengan orang sekeliling,” tutur Smyth anak kelahiran Ireland pada satu temu ramah bersama media antarabangsa pada bulan April lalu.

Dalam perkembangan sama, Paris yang cukup terkenal sebagai Kota Fesyen turut melancarkan kempen Fatphobia, Berhenti! Bertindak Bersama bagi menentang diskriminasi terhadap golongan wanita bersaiz besar.

Kempen diperkenalkan oleh Ketua Antidiskriminasi Paris, Helene Bidard itu tercetus gara-gara beliau menjadi mangsa penghinaan kelompok manusia yang memandang sinis terhadap individu bertubuh gempal.

Katanya, orang bersaiz besar tidak wajar dihukum dan diabaikan khususnya dalam industri fesyen.

"Ubah persepsi bahawa orang gemuk itu hodoh, tidak bijak dan tidak sihat," tegasnya.

Artikel Berkaitan:

Inisiatif Najjah

Itu gambaran senario di peringkat antarabangsa? Bagaimana pula di Malaysia? Barangkali tidak keterlaluan untuk disebut, kesedaran mengenai sangat kurang.

Namun, jenama fesyen muslimah popular, Najjah memahami keperluan setiap wanita di negara ini. Ramai berbangga dengan keprihatinan label itu apabila menawarkan koleksi busana wanita dalam pelbagai saiz, warna dan corak tanpa mengabaikan konsep patuh syariah.

Pengasas Bersama dan Pengarah Kreatif Najjah Avenue Sdn Bhd, Nurul Azwin Musa berkata, pihaknya rasa bertanggungjawab mengeluarkan variasi rekaan yang ideal digayakan wanita Muslimah sama ada bertubuh langsing ataupun gempal.

"Pengalaman sedekad berkecimpung dalam industri fesyen tempatan membuatkan saya berani untuk sentiasa bereksperimen menghasilkan rekaan daripada saiz kecil hingga ke saiz besar (plus size) seiring dengan trend semasa.

"Sebagai contoh, baju kurung keluaran Najjah, kami tidak menerapkan elemen dart di bahagian depan dan belakang bagi mendapatkan potongan longgar yang tidak mengikut bentuk badan. Ini bermakna, mereka bersaiz L turut berpeluang menyarungkan busana itu dengan selesa,” katanya ketika ditemui Femina pada Majlis Ulang Tahun ke-10 Najjah di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Bicara Nurul Azwin lagi, bagi wanita berbadan gempal, baju kurung moden polos rona gelap dan flora kecil adalah pilihan ideal. "Elakkan motif yang terlalu sarat bagi mengelakkan penampilan tampak lebih besar daripada saiz sebenar.

"Secara tidak langsung, pandangan mata orang sekeliling tidak fokus pada bentuk badan badan, sebaliknya tertumpu corak atau rekaan busana.

Material

Mengulas mengenai material yang digunakan, wanita bertubuh genit itu memilih kain kapas lembut memandangkan ia bersesuaian dengan cuaca panas dan lembap di negara ini.

“Lagipun fabrik kapas mudah dijaga dan sifatnya memberi keselesaan kepada si pemakai dalam apa jua acara seperti majlis formal, ke pejabat, kuliah mahupun majlis keramaian,” jelasnya yang turut memberitahu pakaian dan tudung jenama Najjah dijual pada harga berpatutan.

Selain baju kurung moden dan dres, Najjah yang sering menjadi pilihan selebriti Irma Hasmie, Yatt Hamzah dan Lufya itu turut menawarkan Abaya Malaika iaitu jubah berpotongan longgar ala kaftan dalam tiga warna lembut, coklat, hitam dan merah jambu dusty rose.

"Abaya Malaika antara item yang mendapat permintaan tinggi dalam kalangan wanita pelbagai saiz. Ini disebabkan potongannya yang labuh, longgar dan corak tidak terlalu sarat membuatkan mereka bersaiz besar pun selesa menyarungkannya.

"Bukan itu sahaja, memahami kehendak wanita Muslimah moden yang gemarkan gaya chic, kami turut menampilkan jaket konsep ranggi separa lutut. Hadir bersama poket di bahagian depan dan dalam baju memudahkan wanita menyimpan barang peribadi seperti telefon bimbit dan dompet,” ujarnya.



NURUL AZWIN (tengah) bersama model yang menggayakan rekaan baharu Najjah.
NURUL AZWIN (tengah) bersama model yang menggayakan rekaan baharu Najjah.