Negeri Sembilan serah sumbangan untuk Palu

palu
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan hari ini memberi sumbangan berjumlah RM42,000 kepada Amal Relief Negeri Sembilan (Arif) untuk misi bantuan kemanusiaan Palu, Sulawesi Tengah, Indonesia.

Selain itu, Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan turut menyumbang RM15,000 kepada Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), manakala Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains) pula menyerahkan sumbangan RM15,015 kepada Mapim bagi tujuan yang sama.

Mapim dan Arif merupakan badan bukan kerajaan (NGO) yang melaksanakan misi tersebut.

Majlis penyerahan sumbangan itu oleh Menteri Besar Aminuddin Harun berlangsung di Wisma Negeri di sini. Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia Dan Sukan negeri Mohamad Taufek Abd Ghani, Setiausaha Mains Datuk Kamal Amran Kamarudin, Penyelaras Mapim Negeri Sembilan Mohd Fuad Othman dan wakil Arif, Muhammad Aiman Mohammad Zaki.

Sementara itu, Mohamad Taufek berkata kerajaan negeri dengan kerjasama pejabat beliau telah melancarkan Tabung Misi Kemanusiaan dan sukarelawan belia bencana alam Palu, Sulawesi Tengah, Indonesia pada 10 Oktober lepas.

Katanya kerajaan negeri melalui Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri pula telah menggerakkan usaha kutipan Tabung Misi Kemanusiaan Palu ke seluruh agensi dan jabatan kerajaan di negeri ini.

"Seluruh sumbangan untuk Tabung Misi Kemanusiaan kemudian telah diserahkan kepada saya pada 19 Oktober lepas. Sumbangan yang telah dikumpulkan itu telah berjaya dibawa ke Palu bersama dua orang sukarelawan belia Negeri Sembilan dan beberapa NGO pada 22 Oktober lepas yang merupakan misi pertama.

"Fasa pertama ini dilakukan bagi meninjau situasi semasa bencana alam yang berlaku di wilayah Palu dan memastikan keperluan yang kritikal yang diperlukan untuk dibawa sewaktu Misi Bantuan Kemanusiaan Palu yang kedua", katanya.

Mohamad Taufek berkata dengan kerjasama Mains, kutipan bagi sumbangan Misi Bantuan Kemanusiaan Palu itu juga telah digerakkan ke masjid-masjid seluruh Negeri Sembilan pada 7 November lepas.

Katanya jumlah keseluruhan yang diterima Mapim dan Arif sebanyak RM72,015 akan dibawa ke wilayah Palu untuk membina rumah sementara atau 'Hunian Sementara' yang bernilai RM8,000 seunit.

Beliau berharap bantuan nerkenaan dapat meringankan beban mangsa bencana tsunami di Palu.- Bernama.