KLFA lucut keanggotaan sembilan ahli gabungan

Adnan Md Ikhsan
Adnan Md Ikhsan
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) mengambil tindakan drastik dengan menggugurkan keanggotaan sembilan ahli gabungannya selepas didapati bersalah melanggar Artikel 17 statut KLFA.

Presiden KLFA, Datuk Seri Adnan Md Ikhsan berkata, pemecatan berkenaan yang berkuat kuasa Khamis lalu dibuat setelah sembilan ahli gabungan berkenaan telah membuat aduan kepada Pesuruhjaya Sukan pada November lepas, sekali gus melanggar statut KLFA yang melarang ahli gabungan membawa sebarang isu dalaman kepada pihak luar.

"Kita (sebelum ini) telah mengarahkan mereka membalas surat tunjuk sebab dalam tempoh 14 hari dan tiada seorang pun yang memberi respons, namun kita memberi notis dalam tempoh empat hari, dan hanya satu (ahli gabungan) sahaja yang memberi respon.

"Jadi, tindakan perlu diambil dengan mengugurkan keanggotaan mereka dalam KLFA kerana mereka tidak memberi sebarang respons, namun mereka boleh membuat rayuan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Tahunan KLFA ke-31, di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Sembilan ahli gabungan yang digugurkan keanggotaan tersebut adalah Sime Darby, Felcra, Putrajaya FA, VIFC, Petaling Putra, UniKL, Akademi Bola Sepak Subadron, Bank Rakyat dan Bukit Bandaraya.

Dalam pada itu, Adnan mengulangi pendirian persatuan berkenaan untuk mengadakan kongres tahunan bagi memilih ahli exco baharu bagi penggal 2018-2022, selewatnya-lewatnya penghujung November ini kerana mereka perlu menyelesaikan beberapa perkara berbangkit.

Untuk rekod, sembilan ahli gabungan KLFA berkenaan dilaporkan membuat aduan kepada Pesuruhjaya Sukan susulan kegagalan KLFA mengadakan mesyuarat pemilihan ahli jawatankuasa bagi penggal 2018-2022 pada November 2018.

Pesuruhjaya Sukan dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi surat bertarikh 22 Februari lepas telah mengarahkan KLFA untuk mengadakan kongres tahunan mereka sebelum atau pada 31 Mei ini atau berdepan tindakan pembatalan pendaftaran oleh Pesuruhjaya Sukan.- Bernama

Artikel Berkaitan: