Koguru tawar perkhidmatan Dobi Cikgu

Dobi Cikgu ditempatkan bersebelahan perkhidmatan pajak gadai Islam Ar-Rahnu Koguru di Jerteh, Besut.
Dobi Cikgu ditempatkan bersebelahan perkhidmatan pajak gadai Islam Ar-Rahnu Koguru di Jerteh, Besut.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Koperasi Warga Pendidikan Terengganu Berhad (Koguru) menawarkan perkhidmatan baharu, dobi layan diri 24 jam pertama di Jerteh, Besut dengan menggunakan jenama Dobi Cikgu.

Pengerusi Kehormat Koguru, Alias Yahya berkata, dobi yang beroperasi sejak 2 Jun lalu berhampiran Dewan Sivik Jerteh itu mempunyai 12 unit mesin di mana enam unit berfungsi sebagai mesin basuh manakala enam lagi bagi mesin pengering.

“Apa yang istimewa, walaupun mesin basuh ini kebanyakannya boleh menampung berat sehingga 28 kilogram, harga yang kita tawarkan adalah sama dengan yang ditawarkan oleh perkhidmatan dobi yang lain.

“Kita tidak kenakan cas yang tinggi bagi perkhidmatan ini kerana mahu memberikan peluang kepada pelanggan terutama untuk orang-orang Besut mendapatkan perkhidmatan dobi yang terbaik,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Koguru di sini, hari ini.

Dobi Cikgu merupakan perkhidmatan baharu yang ditawarkan Koguru.
Dobi Cikgu merupakan perkhidmatan baharu yang ditawarkan Koguru.

Dalam pada itu, katanya Koguru turut menyediakan peluang kepada ahlinya untuk menjana pendapatan dengan menjalankan perniagaan menerusi perkhidmatan dobi layan diri yang akan ditempatkan bersebelahan dengan Skim Pajak Gadai Islam, Ar-Rahnu Koguru.

“Sebagai permulaan, kita akan uruskan dahulu dalam tempoh enam bulan perkhidmatan dobi ini. Apabila ada kemajuan, kita akan serahkan kepada ahli yang berminat untuk menguruskan perjalanan perniagaan ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, katanya, Koguru kini mengembangkan lagi sayap perniagaan dengan membuka cawangan pertama di Besut.

Artikel Berkaitan:

“Pembukaan rasmi cawangan Koguru di Besut dijangka akan dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman pada 3 Ogos nanti.

“Selepas membuka cawangan di Besut, kita jangka akan buka dua lagi cawangan iaitu di Kemaman dan Dungun,” katanya.