Seni ukiran jed terbesar jadi tarikan baharu di JB

Nurul Fatihah (tiga dari kiri) menyampaikan anugerah Malaysia Book of Records kepada Ru Bin (tiga dari kanan) sambil diperhatikan Cai Tung (tengah).
Nurul Fatihah (tiga dari kiri) menyampaikan anugerah Malaysia Book of Records kepada Ru Bin (tiga dari kanan) sambil diperhatikan Cai Tung (tengah).
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seni ukiran jed terbesar di negara ini yang terletak di Pusat Pendidikan Fo Guang Shan, di sini bakal menjadi antara tarikan pelancong ke bandar raya ini.

Exco Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Liow Cai Tung berkata, produk tarikan berasaskan budaya itu sangat berpotensi dimajukan.

"Kami melihat 'trend' pelancongan di seluruh dunia tidak terhad kepada mengikut agama atau budaya.

"Malah, pelancong di seluruh dunia sangat berminat untuk melancong ke tempat budaya bagi memahami budaya lain.

"Jadi, ia (seni ukiran jed) tanpa mengira kaum, agama dan bangsa boleh dikunjungi. Saya percaya dengan anugerah Malaysia Book of Records yang diterima seni ukiran jed ini menjadi salah satu tempat pelancongan atau lokasi yang signifikan di kawasan Skudai," katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir majlis penyampaian anugerah Malaysia Book of Records kepada seni ukiran jed itu di Pusat Pendidikan Fo Guang Shan, di sini hari ini.

Pada majlis berkenaan, Penyelidik Analisis Malaysia Book of Records, Nurul Fatihah Mahmood menyampaikan anugerah tersebut kepada pihak pengurusan Pusat Pendidikan Fo Guang Shan, Ru Bin.

Seni ukiran jed berkenaan dihasilkan sejak 2016 dan siap pada tahun lalu sepanjang 33.21 meter serta setinggi 9.41 meter mengandungi 200 karektor yang memaparkan nilai-nilai murni.

Artikel Berkaitan:

Chai Tung berkata, berikutan itu, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan pemain industri untuk membantu mempromosikan produk tarikan terbaharu itu.

"Fo Guang Shan sememangnya bersedia untuk menerima para pelancong dari seluruh dunia.

"Jadi, dari pihak kerajaan negeri, kita akan membantunya dan akan bekerjasama dengan pemain industri berkaitan.

"Saya kira, ia akan menambah keistimewaan dan tarikan sempena Tahun Melawat Johor tahun hadapan," katanya.