Nelayan rugi RM7,000 bot dipanah petir

Sebahagian jemaah yang menyertai solat hajat bagi memohon keberkatan dan perlindungan dari ALLAH.
Sebahagian jemaah yang menyertai solat hajat bagi memohon keberkatan dan perlindungan dari ALLAH.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Seorang nelayan dari Kampung Pulau Duyong, di sini mengalami kerugian sebanyak RM7,000 setelah bot yang dinaiki dipanah petir dalam kejadian yang berlaku tiga hari sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Berkongsi saat cemas ketika kejadian, tekong bot, Juhari Harun, 57, berkata, dia bernasib baik kerana kejadian malang yang berlaku pada 2 Jun itu hanya menjejaskan bahagian bot dan tiada kemalangan jiwa berlaku.

“Bahagian bot yang mengalami kerosakan ialah sistem penentu kedudukan sejagat (GPS) yang dianggarkan bernilai RM5000, set audio, kotak suis dan televisyen dengan anggaran keseluruhan lebih kurang RM7,000,” katanya ketika ditemui pada majlis solat hajat memohon keberkatan di Pulau Duyong, di sini, malam tadi.

Juhari atau lebih mesra disapa sebagai Pok Awang berkata, dia bersyukur kerana dia bersama awak-awak terselamat dalam kejadian tidak diduga yang berlaku dalam tempoh yang singkat itu.

Katanya, bot yang terlibat itu juga kini telah dibaiki dan boleh digunakan untuk turun ke laut.

“Bot ni dah siap dibaiki dan dalam keadaan baik. Kita dah tukar semua sistem yang rosak dan kita adakan solat hajat untuk mohon perlindungan ALLAH dari bencana dan seumpamanya,” katanya.

Katanya, sejak berpengalaman turun ke laut lebih 30 tahun lalu, ini adalah kejadian kedua seumpama itu yang menimpanya.

“Saya masih ingat lagi, saya pernah ditimpa kejadian sama pada Julai 2015. Tetapi, kejadian itu juga tidak menyebabkan kerugian yang besar berbanding insiden baru-baru ini dan tiada jiwa yang terkorban.

Artikel Berkaitan:

“Masa kejadian baru-baru ni, saya tak berapa pasti jam berapa. Tetapi ia berlaku di tengah laut. Saya dan empat orang awak-awak hanya berserah pada ALLAH mohon supaya nyawa kami diselamatkan. Mujurlah tiada apa yang berlaku,” katanya yang bekerja sebagai tekong bot sejak lapan tahun lalu.

Juhari
Juhari

Dalam pada itu, bercerita mengenai solat hajat yang dilakukan itu, katanya, ia adalah tradisi yang diamalkan bagi nelayan yang turun ke laut sejak puluhan tahun dahulu.

“Solat hajat ini dilakukan bagi memohon keberkatan terhadap usaha mencari rezeki supaya ALLAH memelihara keselamatan dalam usaha kita mencari rezeki dan dalam masa yang sama kita memohon keberkatan daripada-Nya.

“Memang kita hanya mampu merancang dan berusaha, tetapi Dialah yang menentukan. Kalau dah ajal, di mana-mana sahaja boleh berlaku. Tapi kita berusaha dan usaha sebegini sebenarnya adalah tradisi turun temurun,” katanya.

Juhari berkata, biasanya, solat hajat akan dilakukan di atas kapal atau bot yang digunakan untuk mencari rezeki.

“Biasanya memang kita akan adakan solat hajat di atas bot dan ia dilakukan sekali atau dua kali dalam tempoh setahun dengan menjemput rakan-rakan, jiran dan penduduk terdekat untuk sama-sama berada di dalam satu jemaah untuk menunaikan solat hajat itu.

“Kalau zaman dahulu, bot yang kita guna tu tak boleh bawak naik selipar atau kasut. Kena tanggal selipar dahulu sebelum naik bot supaya lantai tak kotor.

“Orang dulu-dulu begitu menitikberatkan soal kebersihan sebab di lantai itulah akan diadakan amal ibadat seperti melaksanakan solat hajat,” katanya.

Majlis solat hajat yang diadakan jam 9 malam di dua buah kapal di jeti Pulau Duyong itu disertai seramai 20 jemaah dan dihadiri kira-kira 60 tetamu terdiri daripada penduduk setempat.