Tiada maklumat terkini status Lapangan Terbang Tekah

Teh Kok Lim.
Teh Kok Lim.
A
A
A

TAIPING - Ahli Parlimen Taiping, Teh Kok Lim mendedahkan tiada maklumat lanjut berkenaan status terkini tanah Lapangan Terbang Tekah di sini diterima pihaknya sehingga kini.

Menurutnya, pihaknya masih menunggu maklum balas daripada kerajaan negeri berhubung isu dakwaan pemindahmilikan tanah lapangan terbang bersejarah Taiping itu kepada sebuah syarikat pemaju tempatan bagi tujuan pembangunan skim perumahan kos rendah.

Kok Lim berkata, pihaknya terus berpendirian selari dengan hasrat warga Taiping untuk mengekalkan status tanah Lapangan Terbang Tekah demi mengenangi sejarahnya sebagai lapangan terbang Aerodrome pertama dibina di Malaya dan mempunyai nilai warisan.

"Saya sudah menyampaikan hasrat warga Taiping itu melalui saluran dalaman kerajaan PH Perak.

"Keputusan akhir berada dalam tangan kerajaan negeri dan saya yakin ia selaras dengan hasrat rakyat demi kelestarian Bandar Warisan Taiping," katanya kepada Sinar Harian, di sini hari ini.

Kok Lim berkata, pihaknya bukan hendak membantah inisiatif pembangunan cuba direncana di kawasan itu, namun kerajaan negeri perlu melakarkan pelan pembangunan lebih holistik demi kepentingan masa hadapan penduduk kawasan Tekah.

Beliau juga menegaskan tidak tahu-menahu mengenai tindakan perhimpunan aman diadakan enam NGO tempatan bagi membantah penjualan tanah Lapangan Terbang Tekah di luar pekarangan lapangan terbang itu petang semalam.

"Bagaimanapun, saya bersedia bersemuka dengan wakil NGO berkenaan bagi memberi penjelasan dan jaminan kepada mereka bahawa isu Lapangan Terbang Tekah dipandang serius dan diambil berat oleh kami.

Artikel Berkaitan:

"Saya juga bersedia mendapatkan penjelasan lanjut daripada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sendiri bagi mengetahui status sebenar tanah lapangan terbang itu,"katanya.

Terdahulu, Kok Lim mendedahkan, Bandar Warisan Taiping berdepan kemungkinan kehilangan satu khazanah warisan negara iaitu Lapangan Terbang Taiping, Tekah dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, Perbadanan Menteri Besar (MBInc) Perak sebagai pemilik tanah lapangan terbang itu dalam satu kenyataan menafikan status tanah itu sudah dipindah milik kepada sebuah syarikat pemaju swasta bagi tujuan pembangunan perumahan.

Semalam, seramai 200 ahli Gabungan Persatuan Pelindung Warisan Taiping mengadakan perhimpunan aman membantah penjualan tanah Lapangan Terbang Tekah, di sini kepada sebuah syarikat pemaju di luar pekarangan lapangan terbang itu.