Mayat warga emas ditemukan terapung di Sungai Putat

Anggota bomba membantu mengusung mayat mangsa yang ditemui di Sungai Putat, petang semalam.
A
A

MELAKA TENGAH - Penduduk gempar apabila mayat lelaki ditemukan terapung di Sungai Putat di sini, petang semalam.

Mayat Lim Chong Meng, 50, ditemui oleh seorang wanita kira-kira jam 4 petang semalam, sebelum dikeluarkan sepasukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, mayat lelaki yang berasal dari Melaka itu telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat.

Mayat Chong Meng yang ditemui berhampiran sungai di Sungai Putat.
Mayat Chong Meng yang ditemui berhampiran sungai di Sungai Putat.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, tiada laporan dibuat keluarga mangsa mengenai kehilangannya dan siasatan lanjut masih dijalankan, bagaimanapun keputusan bedah siasat belum diperoleh.

"Mangsa adalah seorang tukang masak sebuah hotel di negeri ini dan dipercayai mati lebih dari 48 jam sebelum mayat ditemui.

"Hasil siasatan awal mendapati mangsa sudah bercerai dengan isterinya dan tinggal seorang diri di bandar Melaka," katanya.

Tambahnya, kali terakhir mangsa ditemui ahli keluarganya kira-kira seminggu lalu ketika bersarapan di kedai makan milik adik lelakinya di Ujong Pasir.

Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR).


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia