14 syarikat penuhi kriteria eksport durian Musang King ke China

Salahuddin beramah mesra dengan tetamu yang hadir Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Parlimen Pulai anjuran Pakatan Harapan Parlimen Pulai.
Salahuddin beramah mesra dengan tetamu yang hadir Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Parlimen Pulai anjuran Pakatan Harapan Parlimen Pulai.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah mengenal pasti 14 syarikat tempatan untuk mengeksport durian “Musang King” dalam bentuk buah sempurna ke China.

Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, kesemua syarikat tersebut telah memenuhi kriteria yang ditetapkan.

"Kementerian kita dan juga Kementerian Kesihatan telah membuat penilaian dan mendapati syarikat-syarikat ini memenuhi kriteria dan piawaian yang telah ditetapkan oleh General Administration of Customs of People’s Republic of China (GACC).

“Dari 14 syarikat ini, tujuh telah dilawati GACC. Syarikat yang akan dipilih untuk mengeksport durian Musang King untuk fasa pertama ini akan diumumkan Isnin ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Parlimen Pulai anjuran Pakatan Harapan Parlimen Pulai, di sini hari ini.

Salahuddin berkata, pasaran tempatan untuk durian Musang King juga tidak akan terjejas meskipun ia dieksport ke China, malah pasaran durian tersebut lebih meluas bagi produk hiliran berasaskan buah itu.

"Ini merupakan satu kejayaan besar bagi kementerian kita dan kementerian berkaitan memandangkan keputusan untuk mengeksport buah berkenaan dalam bentuk buah sempurna, diperolehi dalam masa yang singkat.

"Masih ada peluang lagi bagi syarikat-syarikat yang tidak terpilih untuk eksport durian berkenaan sekiranya tidak terpilih pada fasa pertama ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas tentang bekalan barangan kawalan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Hari Gawai, Ahli Parlimen Pulai itu memberitahu, kesemuanya adalah mencukupi.

"Ini adalah hasil kerjasama dua kementerian serta agensi-agensi berkaitan yang bertungkus-lumus dalam memastikan bekalan barangan makanan adalah mencukupi selain harga kawalan sentiasa diikuti," katanya.