JPJ disaran terap elemen keibubapaan dalam kursus memandu

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) disaran menerapkan elemen keibubapaan dalam kurikulum sekolah memandu bagi meningkatkan pengetahuan mengenai keselamatan kanak-kanak di dalam kereta.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh berkata surat cadangan mengenai perkara itu telah dihantar kepada JPJ.

"Walaupun kebanyakan pemohon lesen memandu berumur 18 tahun dan masih bujang, mereka harus tahu mengenai keselamatan kanak-kanak dalam kereta yang dipandu mereka bagi mengelakkan insiden seperti kemalangan melibatkan kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengedarkan topi kepada penduduk sempena Hari Bapa di Medan Damansara hari ini.

Ditanya mengenai kejadian seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun maut setelah lebih dua jam ditinggalkan kepanasan di dalam kereta di Sabah, Rabu lepas, Yeoh berkata ibu bapa perlu memeriksa kenderaan mereka setiap kali keluar untuk memastikan tiada sesiapa yang tertinggal. "Tolong jangan ambil mudah kerana kes kanak-kanak ditinggalkan dalam kereta dalam cuaca panas seperti di Malaysia memang sangat sengsara untuk anak itu.

"Ia merupakan kematian akibat strok haba dan keadaan amat panas terutama apabila mereka tidak boleh bercakap. Lebih teruk apabila terikat dengan tali keledar, mereka tidak boleh bergerak... ia amat menyakitkan," katanya.

Sementara itu, Yeoh berkata ibu bapa harus lebih banyak berinteraksi dengan anak-anak mereka dan jangan hanya tertumpu kepada mencari pendapatan bagi keluarga.

"Ini bukan sekadar memberi wang (kepada anak-anak), ia sebenarnya memberi input, mengajar mereka tentang nilai dan meluangkan masa dan anak-anak akan memerhatikan interaski antara ibu dan bapa mereka,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Yeoh berkata kebanyakan perbuatan negatif termasuk gangguan seksual melibatkan kanak-kanak adalah daripada keluarga berpecah belah kerana kanak-kanak yang sunyi selalunya akan berhubungan dengan orang asing secara dalam talian.

"Ini yang bahaya hari ini kerana anak-anak kita apabila kesunyian mereka akan pergi di dalam talian (mesia sosial) dan itu bukan yang kita mahukan. Justeru menghabiskan waktu (dengan keluar) amat penting, bukan sekadar memberi mereka peralatan tetapi bersama mereka pada Sabtu dan Ahad,” katanya. -Bernama