Peserta hilang kelayakan

Kee Hiong memuatnaik status di Facebook berhubung peruntukan kuota 700 ahli yang ditetapkan kerajaan negeri bagi DUN Kuala Kubu Bharu selepas pengemaskinian Skim Peduli Sihat dilaksanakan baru-baru ini. - Foto Facebook Lee Kee Hiong
Kee Hiong memuatnaik status di Facebook berhubung peruntukan kuota 700 ahli yang ditetapkan kerajaan negeri bagi DUN Kuala Kubu Bharu selepas pengemaskinian Skim Peduli Sihat dilaksanakan baru-baru ini. - Foto Facebook Lee Kee Hiong
A
A
A

HULU SELANGOR - Pengemaskinian senarai penerima Skim Peduli Sihat oleh Kerajaan Negeri Selangor bermula 1 Mei lalu menunjukkan semua 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu mengalami perubahan ketara dari segi bilangan penerimanya.

Perubahan jumlah penerima bagi setiap DUN berlaku ekoran pengemaskinian adalah berdasarkan peruntukan kuota meliputi empat kategori.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong berkata, empat kategori tersebut dibahagikan kepada DUN yang memiliki pengundi 30,000 orang ke bawah, pengundi berjumlah 30,000-45,000, pengundi berjumlah 45,000-60,000 dan pengundi berjumlah 60,000 orang ke atas.

Beliau berkata, Kuala Kubu Bharu adalah antara 13 DUN yang terlibat dalam kategori DUN yang mempunyai pengundi 30,000 orang ke bawah.

Menurutnya, bagi kategori itu kuota Skim Peduli Sihat yang diperuntukkan hanyalah untuk 700 ahli sahaja.

“Bagi Kuala Kubu Bharu jumlah peserta Skim Peduli Sihat adalah seramai 3,209 orang namun selepas pengemaskinian dibuat seramai 2,509 peserta yang layak sebelum ini terjejas.

“Selepas kemas kini syarat diketatkan di mana penerima Skim Peduli Sihat mestilah mempunyai pendapatan bawah RM2,000 dan berdaftar sama ada dengan eKasih atau Bantuan Sara Hidup (BSH) dan mengikut peruntukan kuota ditetapkan iaitu hanya 700 ahli,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Kee Hiong berkata, beliau bagaimanapun tidak terlibat dalam pemilihan 700 ahli Skim Peduli Sihat di DUN Kuala Kubu Bharu kerana pemilihan atau saringan dibuat sepenuhnya oleh Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, bagi DUN Kuala Kubu Bharu peruntukan seramai 700 penerima itu amat memberi impak besar kepada penerima yang layak sebelum ini.

“Saya mohon maaf kepada pengundi DUN Kuala Kubu Bharu yang tidak lagi tersenarai sebagai ahli Skim Peduli Sihat.

Sedih tapi saya terpaksa akur dengan keputusan baharu ini yang berkuatkuasa 1 Jun lalu.

“Saya mohon semua penerima skim ini untuk menyemak status terkini masing-masing sama ada masih layak menerusi layari https://www.pedulisihat.com/kelayakan.html dan masukkan nombor kad pengenalan anda,” katanya.

Kee Hiong berkata, sekurang-kurangnya dengan membuat semakan awal, penerima yang tidak tersenarai selepas pengemaskinian mempunyai pilihan untuk mendapatkan rawatan di hospital kerajaan.

Pada 26 April lalu, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dalam satu kenyataan media berkata kerajaan negeri akan mengemaskini senarai penerima Skim Peduli Sihat melalui maklumat yang terdapat di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan sistem eKasih yang mengambil masa sebulan bermula 1 Mei lalu.