Walaupun kecil impaknya besar

A
A
A

KETIKA saya sedang memandu kereta sambil meredah kesesakan trafik, terdengarlah sebuah lagu lama bertajuk Kalau aku kaya. Tersenyum saya mendengar lagu berkenaan sambil menghayati liriknya. Usai lagu tersebut dinyanyikan, persoalan mula timbul, “Mengapa kita perlu tunggu kaya dahulu sebelum membantu orang lain.” Pendek kata, semuanya kena tunggu dahulu. Tunggu jadi kaya, naik pangkat dan berkedudukan baru nak jadi pemurah.

Sebetulnya, masih ramai individu yang meremehkan isu beramal dengan kebaikan dalam perkara kecil. Bagi mereka, berbuat kebaikan dalam skala yang besar lebih memberi impak kerana mendapat lebih banyak pujian serta liputan yang meluas daripada media.

Hakikatnya, amat jarang mereka yang sanggup menjadi wira yang tak didendang jika hanya beramal dengan kebaikan yang kecil. Malah, Nabi SAW juga pernah bersabda, “Jangan pernah kamu meremehkan kebaikan meskipun dengan menyambut saudaramu dengan wajah yang berseri." (Hadis Riwayat Muslim).

Berkaitan hal ini, saya cukup teruja dengan ucapan ringkas seorang graduan wanita dari Universiti Harvard, Amerika Syarikat baru-baru ini. Beliau asalnya daripada Algeria dan telah menjalani kehidupan yang begitu susah semasa kecil. Tambahan pula dengan berlakunya perang saudara pada awal tahun 1990-an menyebabkan negaranya semakin bergolak. Pada suatu hari, ibunya telah melihat ramai orang berkumpul di pasar untuk mendaftar di bawah program perlindungan pelarian yang dianjurkan oleh kerajaan Perancis.

Pun begitu, memandangkan ibunya buta huruf menyebabkan beliau tidak dapat meneruskan hasrat untuk mendaftar walaupun beliau tahu bahawa itu adalah peluang terbaik untuk membantu kehidupan yang lebih cerah kepada keluarganya. Tiba-tiba ada seorang lelaki yang beliau tidak kenali telah memanggilnya dan membantu beliau mengisi borang untuk semua ahli keluarganya. Kesannya, kehidupan keluarganya semakin baik dan salah seorang anaknya berkelulusan dari Universiti Harvard. Bagi anaknya, walaupun bantuan lelaki tersebut nampaknya kecil dan cukup mudah untuk dilakukan, namun sebenarnya telah memberikan impak yang cukup besar kepada diri dan keluarganya.

Baru-baru ini juga, sewaktu saya hendak keluar dari pejabat, saya nampak ada seorang wanita yang memberhentikan motosikalnya di bahu jalan. Pada mulanya saya tidak perasan apa tujuan beliau, rupanya beliau mengalihkan bangkai kucing di atas jalan raya dan meletakkan di bawah pokok di sebelah bahu jalan. Terharu saya melihat gelagat wanita tersebut kerana begitu berbudi kepada binatang walaupun telah mati.

Adalah jelas, apa yang dilakukannya adalah perkara yang cukup kecil dan tiada siapa yang hendak memberikan pujian dan penghargaan atas sikap tersebut. Namun, perbuatan sebegitulah yang memberikan impak yang besar sebenarnya. Hakikatnya, perbuatan beliau adalah seperti kata para ulama, “Apabila dibuka satu peluang kebaikan, maka bersegeralah melakukan kerana kita tidak tahu bilakah ia akan tertutup buat kita."

Pada hemat saya, jika kita semua berperanan untuk beramal dengan melakukan perkara yang kecil, negara kita akan lebih makmur. Kalau selama ini, kita tidak pernah tegur dan nasihat pelajar yang ponteng, tidak pernah bertanya khabar individu yang susah, amat jarang menziarahi pesakit serta berat sungguh tulang-temulang, namun sekiranya kita telah mengubah paradigma pemikiran tentunya impak yang paling besar adalah kepada diri kita sendiri dahulu kerana berasa tenang dan tenteram.

Artikel Berkaitan:

Pada prinsipnya, kita perlu beramal dengan kebaikan sehingga akhir hayat walaupun kecil. Sabda Nabi SAW, “Sekiranya berlaku kiamat sedangkan ditangan seorang daripada kamu ada benih tamar dan dia berupaya menanamnya sebelum kiamat, maka hendaklah dia menanamnya, dengan itu dia mendapat pahala." (Hadis riwayat Bukhari).

Justeru, marilah kita beramal dengan kebaikan yang kecil dahulu sebelum teruja melakukan kebaikan pada skala yang besar.Mengapa kita perlu tunggu kaya dahulu sebelum membantu orang lain."* Prof Dr Huzili Hussin ialah Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi Universiti Malaysia Perlis