Raja Muda Kedah nasihat rakyat bertenang

Tengku Sarafudin (empat, kanan) berbual dengan Mohd Kassim (tiga, kanan) sambil disaksikan Dr Ismail (dua, kanan). Manakala Che Puan Muda Zaheeda (dua, kiri) berbual dengan Asma.
A
A

KUALA KEDAH - Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin meminta rakyat bertenang dan menyerahkan siasatan kes melibatkan anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim kepada pihak berkuasa.

Baginda turut meminta agar tiada mana-mana pihak mengambil keputusan atau hukuman sendiri terhadap pelaku yang meragut nyawa anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya itu.

Pesanan Tengku Sarafudin Badlishah itu dikongsi oleh Exco Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (GLC) Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh, yang mengiringi baginda ke rumah keluarga Allahyarham Muhammad Adib, di Kampung Tebengau Tepi Laut, hari ini.

Turut berangkat, Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff. Baginda berdua disambut mesra bapa dan ibu Allahyarham Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid dan Asma Aziz.

Tengku Sarafudin (kiri) menyampaikan sumbangan kepada Mohd Kassim (kanan) ketika berkenan menziarahi keluarga itu di rumah mereka di Kampung Tebengau Tepi Laut.
Tengku Sarafudin (kiri) menyampaikan sumbangan kepada Mohd Kassim (kanan) ketika berkenan menziarahi keluarga itu di rumah mereka di Kampung Tebengau Tepi Laut.

Menurut Dr Ismail, Tengku Sarafudin juga mahu keadilan diberikan kepada Allahyarham dengan memberi hukuman setimpal kepada mereka yang terlibat dalam insiden itu.

“Baginda harap keadilan dalam bentuk pelaksanaan undang-undang. Biarlah pihak berkuasa siasat, jangan ikut undang-undang sendiri, jangan kaitkan sentimen agama dan bangsa untuk mengelak kekacauan dalam negara,” katanya.

Dr Ismail berkata, Tengku Sarafudin turut menasihatkan ibu bapa dan ahli keluarga kepada Allahyarham Muhammad Adib agar bersabar dan meneruskan kehidupan serta menjaga kesihatan dengan baik.

“Baginda memberi jaminan akan melihat keperluan keluarga ini dan mereka akan dibantu jika perlukan bantuan,” katanya.

Che Puan Muda Zaheeda (kanan) bertanya khabar kepada Asma (kiri) ketika berkenan menziarahi keluarga itu.
Che Puan Muda Zaheeda (kanan) bertanya khabar kepada Asma (kiri) ketika berkenan menziarahi keluarga itu.

Dalam pada itu, Dr Ismail yang juga Adun Pengkalan Kundor berkata, pihaknya akan memantau keperluan keluarga itu jika memerlukan bantuan.

“Jangan dibiarkan keluarga wira negara ini dalam kesusahan kerana anak mereka memberi sumbangan besar kepada negara,” katanya.

Menurutnya, keprihatinan Tengku Sarafudin sedikit sebanyak menceriakan keluarga itu apabila baginda berdua berkenan untuk menyampaikan kesedihan rakyat Kedah atas peristiwa tragis itu.

Tengku Sarafudin selaku Yang DiPertua Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) meluangkan masa hampir 30 minit beramah mesra dengan keluarga Allahyarham Muhammad Adib.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia