Gantung tugas Ketua Pengarah YaPEIM dilanjutkan sebulan

Datuk Abibullah Samsudin
Datuk Abibullah Samsudin
A
A
A

KUALA LUMPUR – Tempoh penggantungan perkhidmatan Ketua Pengarah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Datuk Abibullah Samsudin dilanjutkan sebulan lagi.

Lembaga Pemegang Amanah (LPA) YaPEIM dalam satu kenyataan berkata, penggantungan yang sepatutnya berakhir 12 Jun lalu telah dilanjutkan sehingga 12 Julai ini.

LPA YaPEIM menjelaskan, tindakan diambil itu tertakluk kepada pelaksanaan dan proses siasatan dalaman untuk disempurnakan.

“Penggantungan tugas Abibullah dilanjutkan bagi membolehkan YaPElM menyiasat kes tersebut secara telus, adil dan saksama serta melindungi kepentingan kedua-dua pihak terbabit sebelum sebarang keputusan diambil.

“Tindakan menggantung tugas atau perkhidmatan oleh majikan adalah amalan biasa bagi tujuan siasatan salah laku untuk tangani masalah tatatertib dan disiplin serius seperti mana diperuntukkan di bawah seksyen 14(2) Akta Pekerjaan 1955,” kata kenyataan itu, di sini hari ini.

Sementara itu, bagi melicinkan tadbir urus institusi, tugas Pengarah Pengurusan Strategik, Parihah Hasan sebagai Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM turut dilanjutkan.

ARTIKEL BERKAITAN: PKR buat laporan polis siasat Ketua Pengarah Yapeim

Pada 18 Mei lalu, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil membuat laporan polis berhubung penularan video seorang lelaki didakwa kononnya Abibullah mempengaruhi kakitangan YaPEIM pada PRU14. Video yang tular itu memaparkan ucapan seorang lelaki dipercayai pegawai kanan YaPEIM ‘mengugut’ kakitangannya supaya jangan undi Pakatan Harapan (PH).

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Ketua Pengarah YaPEIM digantung sementara

Susulan itu, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM, Datuk Dr Mohd Daud Bakar mengumumkan penggantungan tugas Abibullah bagi membolehkan siasatan menyeluruh berkenaan dakwaan salahlaku dapat dijalankan.