Ayuh wujudkan masa depan gemilang buat Malaysia: Tun M

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad - Foto Bernama
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa generasi muda supaya mempelajari dan menguasai setiap bentuk pengetahuan yang dapat membawa Malaysia menjadi sebuah negara maju.

Dr Mahathir, yang dijadual bertemu pelajar daripada Majlis Pelajar Malaysia United Kingdom dan Eire (UKEC) semasa lawatan kerja tiga hari beliau ke United Kingdom bermula 15 Jun, mengingatkan generasi muda bahawa mereka perlu melengkap diri dengan kemahiran dan memperkukuhkan jati diri di samping berpegang teguh kepada ajaran agama serta nilai murni.

Dr Mahathir berkata, memandangkan sebahagian besar daripada generasi beliau akan berlalu pergi, beliau meletakkan harapan kepada generasi muda untuk mewujudkan masa depan yang cerah bagi Malaysia dan menggesa mereka supaya menolak rasuah dengan sekeras-kerasnya, memupuk kebenaran, kejujuran serta keadilan.

“Kepada siapakah akan kami tinggalkan nasib negara ini, jika bukan kepada generasi muda? Ayuh kita berganding bahu dan bersatu padu untuk mewujudkan masa depan yang gemilang bagi Malaysia,” kata beliau dalam mesej Instagram hari ini.

Aturcara Dr Mahathir dalam lawatan kerja itu, termasuk menyampaikan syarahan bertajuk ‘Demokrasi di Malaysia dan Asia Tenggara’ di Cambridge Union pada 16 Jun, yang dijangka menarik kehadiran personaliti dan ahli akademik terkemuka di UK di samping pelajar institusi pengajian tinggi.

Perdana menteri juga dijadual bertemu rakyat Malaysia yang menetap di UK pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London.

Dr Mahathir juga dijadual menghadiri mesyuarat Anggota Lembaga Pengarah Human Life Advancement Foundation (HLAF). Ditubuhkan pada 2011, HLAF adalah pertubuhan antarabangsa yang aktif dalam bidang pendidikan, pemindahan teknologi dan pembangunan lestari.

Wisma Putra berkata, lawatan kerja itu akan memastikan bahawa ikatan persahabatan antara Malaysia dan UK terus kukuh demi manfaat kedua-dua negara.

Artikel Berkaitan:

Dr Mahathir akan diiringi isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan para pegawai kanan kerajaan.- Bernama