Satu lagi kes akibat denggi dicatat di Taman Sri Lambak

Mohd Khuzzan (tengah) menampal notis di sebuah rumah kosong sambil diperhatikan oleh Dr Sellahuddeen (kiri) dan Mohd Syukri di Taman Sri Lambak, Kluang.
Mohd Khuzzan (tengah) menampal notis di sebuah rumah kosong sambil diperhatikan oleh Dr Sellahuddeen (kiri) dan Mohd Syukri di Taman Sri Lambak, Kluang.
A
A
A

KLUANG - Satu lagi kes kematian akibat demam denggi dicatatkan di Taman Sri Lambak, di sini, menjadikan jumlah kematian akibat wabak tersebut sehingga hari ini adalah sebanyak dua kematian.

Exco Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, mangsa yang merupakan seorang lelaki berumur 57 tahun meninggal dunia kira-kira jam 1 pagi tadi selepas beberapa hari mendapatkan rawatan di Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom (HEBHK) Kluang.

"Sejak kawasan ini diisytiharkan sebagai kawasan wabak bermula 11 Mei lalu sehingga hari ini, sebanyak 62 kes dan dua kematian telah dicatatkan iaitu kematian pertama melibatkan seorang guru lelaki pada 9 Jun lalu dan kes kematian kedua pada awal pagi hari ini.

"Daripada jumlah kes tersebut, seramai 22 pesakit sedang mendapatkan rawatan di HEBHK termasuk masing-masing dua pesakit termasuk kanak-kanak yang kini ditempatkan di unit rawatan koronari (CCU) dan unit rawatan rapi (ICU)," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita pada sidang media selepas melakukan lawatan ke kawasan wabak denggi di Taman Sri Lambak, di sini hari ini.

Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ), Dr Sellahuddeen Abdul Aziz dan Yang Dipertua Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR), Mohamad Syukri Abdul Rahim.

Menurutnya, beliau juga meminta penduduk di kawasan ini agar memberikan kerjasama sepenuhnya kepada penguat kuasa Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kluang dan MDSR untuk melakukan semburan (fogging) di kawasan rumah kerana kerjasama penduduk sebelum ini sangat mendukacitakan.

"Empat siri gotong-royong yang kita lakukan sebelum ini bermula 3 Februari lalu di sekitar kawasan ini juga tidak mendapat sambutan dan selepas kawasan ini diisytiharkan sebagai kawasan wabak pada 11 Mei dan melibatkan kematian, barulah ada kerjasama daripada penduduk.

Artikel Berkaitan:

"Apa yang akan kita lakukan sekarang adalah mengaktifkan semula Jawatankuasa Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (Combi) dan Komuniti Sihat Perkasa Negara (Kospen) di kawasan ini selain kerja-kerja penguatkuasaan oleh PKD Kluang akan diteruskan dalam lingkungan 300 hingga 400 meter kawasan wabak," katanya.

Menurutnya, daripada 2,688 rumah di kawasan Taman Sri Lambak ini, sebanyak 400 rumah didapati kosong dan tidak berpenghuni selain 10 rumah telah ditampal notis di bawah Akta Kawalan bagi membolehkan penguat kuasa memecah masuk kawasan tersebut dan melakukan pemeriksaan.

Pada masa sama, sehingga minggu ke-23 yang berakhir pada 8 Jun lalu, sebanyak 4,388 kes denggi telah dicatatkan di negeri ini dengan 14 kematian berbanding 2,263 kes dan tujuh kematian pada tempoh sama tahun lalu.