Sentuhan emas Bernard Chandran

A
A
A

BIARPUN lebih 25 tahun berkecimpung dalam industri fesyen tanah air, Datuk Seri Bernard Chandran tidak pernah kekeringan idea menghasilkan koleksi busana menawan baik untuk wanita mahupun jejaka.

Saban tahun, pasti ada sahaja rekaan pakaian dilancarkan khas buat pencinta fesyen yang sentiasa menantikan karya sentuhan beliau khususnya pada musim perayaan.

Sempena lebaran pada tahun ini, Bernard memperkenalkan koleksi busana Petang Raya 2019/2020 yang mengetengahkan elemen tradisional dan konvensional.

Bernard atau nama sebenarnya Bernard Jayachandran Ramachandran mengangkat baju kurung moden bagi mewakili wanita intelektual abad ke-21 yang teguh mempertahankan budaya.

Bicara Bernard, gabungan perincian mewah dan potongan pesak yang diterapkan pada busana terbaharunya merupakan tanda penghormatan kepada kaum Hawa yang sentiasa berani mencuba trend moden tanpa mengabaikan estetika tradisional.

"Saya suka mencabar norma dan tidak terlalu mematuhi nilai konvensional namun, pada masa sama menyuntik siluet klasik untuk sentuhan yang lebih segar," jelas beliau kepada Wow Femina baru-baru ini.

Glamor

Dilahirkan dalam keluarga berdarah campuran India dan Cina secara tidak langsung mempengaruhi Bernard menerokai kepelbagaian budaya Asia sekali gus menterjemahkan keindahan itu pada setiap helaian rekaan.

Artikel Berkaitan:

Menyentuh aspek nuansa selain rona ceria simbolik pada mood ceria meraikan hari raya koleksi Bernard Chandran kali ini turut bermain dengan warna asas seperti hitam, putih dan kelabu.

Meskipun tiga warna tersebut disifatkan sebagai warna-warna selamat tetapi koleksi fesyen Bernard Chandran kekal tampak sofistikated apabila digabungkan dengan rekaan luar biasa.

Bernard bukan sahaja menampilkan potongan tangan konsep gelembung yang dihiasi flora malah turut menerapkan riben besar di depan dres termasuk rekaan selendang menutupi sebelah bahu.

Selain itu, koleksi Petang Raya juga kelihatan glamor dan moden dengan padanan material polos, cetakan flora dan jalur.