Rohingya... bukan sekadar simpati

Emma (belakang, kiri) bersama anak-anak Rohingya di salah sebuah sekolah di Langkawi.
Emma (belakang, kiri) bersama anak-anak Rohingya di salah sebuah sekolah di Langkawi.
A
A
A

MENURUT laporan Bernama baru-baru ini, terdapat kira-kira 700,000 penduduk minoriti Islam Rohingya lari mencari perlindungan di negara jiran Bangladesh sejak Ogos lepas berikutan kekejaman tentera disifatkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai penghapusan kaum.

Selain melarikan diri ke negara jiran, kini terdapat lebih 100,000 pelarian Rohingya di Malaysia dan tidak semua mereka berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR).

Kita telah mendengar semua pengalaman traumatik dilalui bangsa Rohingya melalui media dan ia amat menyentuh hati. Dipaksa meninggalkan tanah air dan dimalukan, mereka wajah minoriti paling teraniaya di dunia.

Sudah tentu, sebagai warga prihatin, bantuan disalurkan kepada mereka memerlukan.

Selain derma, kita boleh membantu dengan melakukan kerja-kerja sukarela, mewujudkan kesedaran dan memberi mereka kemahiran supaya mereka dapat berdikari.

Kita juga boleh bersimpati mendengar keluh-kesah dan memeluk mereka agar mereka tahu suara didengari.

Malangnya semua ini tidak cukup tanpa perlindungan, itu kata aktivis yang juga Duta Ke Malaysia, Majlis Rohingya Eropah, Tengku Emma Zuriana Tengku Azmi.

Menurutnya, di Malaysia, tiada beza antara pelarian dengan pendatang tanpa izin (Pati) kerana tidak ada undang-undang yang menyatakan perbezaannya.

Artikel Berkaitan:

“Itu sebabnya Rohingya juga menjadi mangsa dalam Operasi Mega 3.0 digempur Kementerian Dalam Negeri, yang disasarkan kepada Pati. Malaysia tidak menandatangani Konvensyen 1951 dan Protokol 1967 berkaitan dengan Status Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), menjadikan Rohingya sebagai penjenayah hanya kerana status mereka sebagai pelarian.

“Ini juga bermakna kerajaan tidak pernah memperuntukkan apa-apa bantuan atau sokongan untuk pelarian dalam bajet negara, tidak seperti banyak rakyat Malaysia fikirkan. Semua sokongan dan sumbangan kepada pelarian datang dari orang ramai.

“Mereka tidak berada di sini kerana mereka mahu keadaan ekonomi lebih baik, tapi melarikan diri dari kematian dan penganiayaan. Kini, atas faktor perundangan negara hos, mereka sekali lagi menjadi mangsa. Kerana status tanpa negara ini, mereka mempunyai risiko terdedah kepada perdagangan manusia, pemerasan, perkahwinan kanak-kanak, keganasan rumah tangga, masalah sosial dan banyak lagi masalah lain,” katanya.

Dia berkata demikian ketika memberi respon berhubung usaha Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengkritik kepemimpin de facto Myanmar, Aung San Suu Kyi dalam menguruskan etnik minoriti berkenaan pada sidang kemuncak pemimpin Asean di Singapura, baru-baru ini.

Tidak boleh bekerja

Dalam pada itu, Emma Zuriana berkata, dia sendiri menerima banyak kes etnik Rohingya ditangkap dan diperas hanya kerana didapati bekerja.

“Tetapi jika mereka tidak bekerja, bagaimana mampu menyara keluarga? Bukan itu sahaja, sesetengah mereka menghidap sakit kronik, tidak dapat mendapatkan rawatan sewajarnya di hospital.

“Pemegang kad UNHCR, boleh menikmati 50 peratus diskaun dari yuran warga asing. Untuk rawatan kecemasan, caj pendaftaran adalah RM100, jadi mereka hanya perlu membayar RM50. Tetapi bagaimana mereka boleh mengeluarkan wang itu tanpa bekerja?,” katanya.

Menurutnya, disebabkan keadaan kewangan, ramai keluarga Rohingya 20 ke 30 orang tinggal dalam sebuah rumah sama agar dapat membayar sewa bersama-sama.

Ini sudah pastinya tidak selesa dan tidak sihat dari segi fizikal mahupun emosi.

“Saya memuji dan sokong manifesto menjanjikan untuk meratifikasi Konvensyen 1951 yang bermaksud pelarian boleh menikmati faedah seperti akses percuma ke mahkamah, kertas identiti, dokumen perjalanan, perlindungan hak seni dan harta industri, pendidikan asas dan pendidikan lebih tinggi daripada asas.

“Selain itu, mereka boleh menikmati bantuan awam, dilindungi di bawah undang-undang buruh dan keselamatan sosial, hak persatuan dalam kesatuan atau persatuan lain, pekerjaan sendiri, hak untuk pergerakan bebas dan banyak faedah lain yang bukan sahaja dapat membantu, tetapi mereka juga boleh menyumbang pembangunan dan ekonomi kita. Ia adalah situasi menang-menang,” katanya.

Menurutnya, pelarian Rohingya hanya memerlukan perlindungan, sokongan dan empati kita, malah bersedia berbakti kepada Malaysia untuk menunjukkan rasa terima kasih kerana memberi tempat tinggal dan menjaga mereka.

Katanya, peluang untuk hidup sebagaimana insan lain, hadiah terbaik buat mereka sudah pun terdera emosi dan jasmani kerana terpaksa meninggalkan tanah air mereka dan mungkin mempersiapkan mereka untuk pulang apabila konflik berakhir.

Beri pendidikan, kemahiran

Beberapa unit rumah kedai disewa bagi menyediakan kemudahan pendidikan tahfiz dan akademik untuk 220 anak-anak yatim dan miskin sebahagian besarnya pelarian Rohingya dan selebihnya lain-lain warganegara.

Itu antara usaha pihak Madrasah Hashimiah yang mengasaskan pusat terletak di Bandar Utara Kuala Lumpur sejak 1997, dan konsisten membentuk hafiz dan hafizah kalangan golongan tersebut setiap tahun.

Mereka berpeluang belajar di situ antara segelintir yang ‘bernasib baik’ mendapat ilmu, biarpun tidak selengkap pendidikan ditawarkan kepada anak-anak tempatan di negara ini.

Hakikatnya, Emma Zuriana berkata, daripada jumlah pelarian Rohingya di negara ini dengan kira-kira 30 peratus terdiri kalangan kanak-kanak, tak sampai 15 peratus dari jumlah itu yang bersekolah.

“Walaupun negara belum ada data lengkap bilangan mereka ini, hakikatnya pelarian Rohingya ibarat spora ada di tiap negeri di negara kita termasuk di Sabah Sarawak.

“Pelarian Rohingya di Lembah Klang misalnya di Selayang antara bernasib baik, sebab ada NGO bantu buat sekolah khas di tempat ramai Rohingya, malah mereka ada komuniti kumpul duit ramai-ramai dan bina sekolah sendiri. Tapi tak semua tempat bernasib baik kerana kebanyakan mereka tak bersekolah kerana rata-ratanya tiada dokumen,” katanya.

Menurut, anak-anak pelarian tanpa dokumen tidak boleh bersekolah bagaimanapun, jika biar akan timbul masalah sosial.

Katanya, justeru, memandangkan golongan terbabit sudah berada di Malaysia, walau bagaimana sukar sekalipun mereka tetap perlu uruskan kerana jumlah mereka terlalu ramai.

“100k itu yang berdaftar dengan UNHCR. Yang tak daftar ada separuh dari itu lagi, lebih kurang 300k jumlah mereka di negara kita. Jika tak uruskan bilangan ini, ia akan datangkan masalah kepada kita.

“Pendidikan memang penting, Cadangan saya biarkan mereka pergi sekolah kerajaan. Boleh belajar vokasional, suruh mereka bayar, tak apalah tinggi sikit. Kita faham tak ada peruntukan untuk Rohingya ni, suruh mereka bayar, sekurang-kurangnya pergi sekolah dan tak sumbang masalah sosial,” katanya.

Tanggung biawak hidup

Menafikan usaha membantu pelarian Rohingya ibarat menanggung biawak hidup, Emma berkata, ia hanya dalam keadaan sekarang, seperti ditangkap imigresen dan perlu menanggung kos makan minum mereka.

Menurutnya, negara Asean juga bertindak untuk mendakwa Myanmar di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), adakah kita masih hanya melahirkan simpati?

Pengasas Kindness Malaysia, Muhammad Kamarulazizi pula berkata, Madrasah Hashimiah kelolaan NGO nya ialah sekolah untuk anak-anak pelarian.

“Secara peribadi bagi saya peluang pendidikan harus untuk semua. Cuma syarat ke sekolah kerajaan di negara kita kena ada dokumen atau setidak-tidaknya kad UNHCR untuk masuk.

“Jadi sekarang pelarian seperti Rohingya memang tak boleh akses pendidikan di sekolah kerajaan. Harapan kalau kerajaan boleh tandatangani Refugee Convention, banyak masalah pelarian ini akan selesai,” katanya.

Menurutnya, buat masa sekarang terlihat usaha kerajaan untuk mendaftarkan golongan pelarian dan sekiranya itu dapat dilakukan, ia lebih baik bagi memberi peluang ke sekolah.

Sementara itu, Pengetua Madrasah Hashimiah, Al-Hafiz Hashim Kassim berkata, menyedari keperluan pendidikan, madrasah itu diwujudkan.

“Anak Rohingya ramai tak boleh sekolah kerajaan sebab tiada pengenalan diri. Sebab itu kita buka peluang di sini belajar agama dan akademik.

“Setiap bulan perlu RM20k lebih untuk perbelanjaan, bayar guru dan lain-lain. Selalu dapat orang bagi sumbangan masa bulan puasa, zakat, fitrah, sedekah, bulan biasa kita pakai jimat,” katanya.

Sempena 20 November sebagai Hari Kanak-kanak Sedunia, mereka mengharapkan nasib anak-anak pelarian ini turut tidak dilupakan khusus peluang bagi mendapatkan pendidikan. -AG

REAKSI

"Perlu segera daftarkan bilangan mereka yang semakin ramai di negara kita. Daripada senarai nama dikumpulkan itu, kita boleh minta bantuan pihak NGO untuk bantu.”

- Amalina Nadiah Azmi, 19

"Beri mereka kemahiran dalam bidang rakyat negara kita kurang ceburi seperti pembinaan. Ini sekali gus dapat mengurangkan masalah dalam negara kita juga.”

- Mohammad Esa Moin, 33

"Tanpa pelajaran tak mustahil mereka boleh timbulkan gejala sosial. Sebagai masyarakat bertamadun kita harus ada sifat saling membantu pelarian tak bernegara ini.”

- Hanisah Natasha Sharifudin, 19