Percutian pasangan suami isteri bertukar mimpi ngeri

Abdul Rahim
Abdul Rahim
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Percutian seorang peniaga bersama suaminya di Pulau Redang bertukar mimpi ngeri apabila diserang tiga lelaki termasuk seorang dikenali, dalam kejadian di sebuah resort di Pulau Redang, Kuala Nerus, Isnin lalu.

Kejadian kira-kira jam 11.30 pagi semasa pasangan dari Pulau Pinang dalam perjalanan ke kaunter resort untuk melakukan urusan pendaftaran masuk sebelum bahu suami mangsa, 30-an, dilanggar lelaki tidak dikenali.

Menurut sumber, tanpa menghiraukan individu itu, mangsa, 32, bersama suaminya terus mengambil beg masing-masing untuk beredar dari situ tetapi secara tiba-tiba datang tiga lelaki yang mana seorang daripadanya amat dikenali.

"Individu dikenali itu mengeluarkan kata-kata kesat memaki hamun mangsa tetapi tidak diendahkan pasangan itu dan beredar dari situ.

"Bagaimanapun, salah seorang daripada mereka bertindak membaling kerusi ke arah mangsa dan suami tetapi bernasib baik apabila sempat mengelak.

"Masih tidak berpuas hati, lelaki dikenali itu bertindak hendak memukul suami mangsa dan ketika itu juga, wanita itu segera masuk ke bilik sebelum menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan," katanya ketika dihubungi.

Sumber berkata, susulan kejadian, pasangan tersebut dipindahkan ke resort berhampiran demi keselamatan mereka oleh pihak pengurusan resort tersebut.

Kata sumber, mangsa mendakwa sebelum ini, dia pernah berselisih faham dengan lelaki yang menyerangnya itu kerana tidak berpuas hati dalam urusan perniagaan mangsa.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, mangsa mendakwa disebabkan perselisihan faham itu juga, dia pernah menerima ugutan daripada dua wanita tidak dikenali.

"Bimbang akan keselamatan diri dan keluarganya pada masa akan datang, mangsa mengambil keputusan membuat laporan kejadian di Balai Polis Pulau Redang untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

Jelasnya, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan kerana melakukan kekerasan jenayah terhadap mangsa.