Pemandu lori ditahan sembunyi rokok tak lulus kastam

Saidi (dua, kanan) menunjukkan tilam lama yang digunakan untuk melindungi kotak rokok seludup yang tidak lulus kastam.
Saidi (dua, kanan) menunjukkan tilam lama yang digunakan untuk melindungi kotak rokok seludup yang tidak lulus kastam.
A
A
A

BUTTERWORTH - Seorang pemandu lori ditahan apabila taktiknya menggunakan tilam lama untuk menyembunyikan ratusan kotak rokok putih tidak lulus kastam gagal mengaburi mata pihak berkuasa di Kilometer 267, Lebuhraya Utara Selatan, Jelapang, Perak petang semalam.

Hasil pemeriksaan yang dilakukan ke atas lori 10 tan itu menemui tiga juta batang rokok dengan anggaran nilai RM240,000 dan melibatkan jumlah cukai RM2 juta.

Pengarah Jabatan Kastam DiRaja Malaysia, Datuk Saidi Ismail berkata, serbuan dibuat hasil risikan mengenai penyeludupan rokok yang dilakukan terhadap sindiket terbabit sejak beberapa minggu lalu.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati modus operandi yang digunakan sindiket terbabit akan meletakkan barangan lain di hadapan pintu lori.

"Pemandu lori terbabit yang kini direman selama lima hari mendapat upah yang tinggi untuk membawa rokok seludup berkenaan dari kawasan selatan Malaysia untuk dipasarkan di beberapa tempat di wilayah.

"Kita sedang giat mengesan sindiket penyeludupan ini dan percaya kesemua rokok yang dirampas dibawa masuk dari negara jiran," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Dalam serbuan berasingan, Saidi berkata, pihaknya menyerbu sebuah premis yang tidak berpenghuni di Jalan Batu Maung dan merampas 708,000 batang rokok seludup bernilai RM379,000 termasuk cukai.

Katanya, serbuan yang dilakukan jam 9.15 pagi Selasa lalu adalah hasil risikan yang dilakukan pihaknya sejak tiga minggu lalu selepas mendapati sindiket berkenaan menjadikan premis itu sebagai stor untuk menyimpan rokok yang diseludup dari negara jiran.

Artikel Berkaitan:

"Kedua-dua kes itu disiasat menurut Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1968 kerana menyeludup rokok dan jika sabit kesalahan boleh didenda minimum tidak melebihi 10 kali duti kastam atau RM100,000 yang mana lebih tinggi atau penjara tidak kurang dari enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya menyita enam buah kontena kayu getah bergergaji bernilai RM343,000 termasuk cukai yang cuba di eksport ke China di Pelabuhan Kontena Butterworth Utara (NCBT) di sini pada 29 Mei lepas.

Katanya, hasil pemeriksaan oleh Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (LPKM) mendapati kayu berkenaan tidak boleh dieksport ke luar negara kerana ia hanya untuk kegunaan industri tempatan bagi membuat perabot.