Lokman dibebas dengan jaminan polis

Lokman - FOTO ARKIB
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam yang ditahan kerana menghalang tugas polis bersama seorang lagi lelaki dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, kedua-duanya dibebaskan kira-kira jam 7 pagi sebaik siasatan terhadap mereka selesai.

"Beliau (Lokman) sudah dibebaskan dengan jaminan polis selepas siasatan terhadapnya selesai dijalankan.

ARTIKEL BERKAITAN: Lokman Adam ditahan polis

"Seorang lagi lelaki yang ditahan bersamanya semalam juga dibebaskan dengan jaminan polis," katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, polis menahan Lokman dan seorang lagi lelaki sekitar jam 6.45 petang di rumahnya di Kajang Hill Park, Taman Teknologi Kajang. Kedua-dua mereka kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang bagi disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

Lokman ditahan selepas enggan bekerjasama untuk menyerahkan telefon bimbit bagi tujuan pemeriksaan dalam satu siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan Forensik Polis mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan (KK).

Petang kelmarin Lokman hadir ke IPD Kajang bagi memberi keterangan kepada polis berhubung klip video seks didakwa membabitkan seorang menteri Kabinet.