'My Friend, Don't Cry...'

Pemain badminton negara, Datuk Lee Chong Wei pada sidang media khas di Kementerian Belia dan Sukan semalam. - FOTO BERNAMA
Pemain badminton negara, Datuk Lee Chong Wei pada sidang media khas di Kementerian Belia dan Sukan semalam. - FOTO BERNAMA
A
A
A

"PERGI ke gelanggang bersendirian. Tiada siapa yang mengiringi saya lagi,” demikian kata legenda badminton China, Lin Dan dalam hantaran laman media sosial Weibo susulan pengumuman persaraan musuh tradisi dalam gelanggang dan sahabat lamanya, Datuk Lee Chong Wei.

Juara dunia lima kali itu turut berkongsi sebuah lagu berjudul, My Friend, Don't Cry dalam hantaran di laman sosial terbesar China itu.

Selain Lin Dan, bekas pemain Denmark, Peter Gade, yang juga bekas pemain nombor satu dunia pada 2006, turut mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Chong Wei atas kenangan manis yang dikongsi bersama selama beberapa tahun.

“Dear Lee Chong Wei. The badminton world will miss you in every way! Thank you for all the moments we’ve shared through the years. I wish you all the best in the coming years with your family and friends,” katanya dalam laman Facebook rasminya.

(Dunia badminton merindui anda dalam apa cara jua. Terima kasih atas semua detik yang kita berkongsi bersama selama beberapa tahun. Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada anda bersama keluarga dan kawan-kawan pada tahun-tahun akan datang.)

No Image Caption

Rakan senegara Gade, Victor Axelsen, pemain nombor enam dunia, turut mengucapkan selamat maju jaya kepada Chong Wei.

Sejak pengumuman persaraan Chong Wei petang semalam, nama pemain berusia 36 tahun itu menjadi sohor terkini dalam Twitter.

Artikel Berkaitan:

“Legenda badminton telah membantu menyatukan seluruh rakyat Malaysia dan merentasi perkauman melalui sukan,” ciap akaun Twitter @Thashaj.

Seorang lagi pengguna Twitter @marxhyyy berkata: “Anda adalah kegemaran semua. Terima kasih, Datuk LCW. Selamat Bersara.”

Rakyat Malaysia turut membanjiri akaun rasmi Instagram Chong Wei dengan komen positif serta netizen melahirkan rasa sedih dengan pengumuman Chong Wei mengantung raketnya selepas 19 tahun mencurah bakti untuk negara di persada antarabangsa.

Chong Wei, 36, mengumumkan persaraannya pada sidang media khas di Menara Kementerian Belia dan Sukan di Putrajaya dengan dihadiri mentrinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria. - Bernama