Tiada pelepasan sisa dari lombong manganese: Wan Azizah

Dr Wan Azizah (tengah) menyerahkan bantuan makanan kepada orang asli di sini.
Dr Wan Azizah (tengah) menyerahkan bantuan makanan kepada orang asli di sini.
A
A
A

GUA MUSANG - Siasatan Jabatan Alam Sekitar (JAS) mendapati tiada sebarang kejadian pelepasan sisa dari perlombongan manganese di Aring 10 yang terletak tiga kilometer dari perkampungan orang asli Kuala Koh, Gua Musang.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, JAS telah menjalankan persampelan di kawasan lombong manganese dan tandak air di kampung tersebut bagi mendapatkan keputusan yang lebih jelas.

“Jabatan Kimia pada 12 Jun secara keseluruhannya mendapati kualiti air di lokasi persampelan tersebut adalah mematuhi Standard Kualiti Air Minum Kebangsaan bagi air mentah,”katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar di Pusat Operasi Kuala Koh, Gua Musang di sini.

Dr Wan Azizah (kanan) menyampaikan bantuan kit makanan kepada masyarakat orang asli di Kuala Koh.
Dr Wan Azizah (kanan) menyampaikan bantuan kit makanan kepada masyarakat orang asli di Kuala Koh.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan masih lagi menjalankan siasatan dan ujian makmal bagi mengenal pasti punca jangkitan ini.

Malah, keputusan ujian makmal juga dijangkakan akan diperolehi dalam masa terdekat.

Sementara itu, beliau berkata, buat masa ini, atas nasihat kementerian, orang awam tidak dibenarkan masuk ke kawasan tersebut tanpa kebenaran Komander Operasi PKTK (Pos Kawalan Tempat Kejadian) kerana ia telah diisytiharkan sebagai Zon Merah.

Artikel Berkaitan:

“Kerajaan memahami keprihatinan masyarakat dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu meringankan beban keluarga orang asli, namun atas faktor keselamatan, mereka tidak dibenarkan menyalurkan sendiri bantuan tersebut.

Dr Wan Azizah ketika sampai di Kuala Koh di sini.
Dr Wan Azizah ketika sampai di Kuala Koh di sini.

“Kebajikan orang asli setakat ini terkawal. Kita mesti memikirkan tentang kaum ini kerana mungkin ada di antara kita yang masuk bawa kuman, kita ingat nak tolong, tapi kita yang bawa punca penyakit.

“Ini salah satunya sebab kenapa tidak bagi masuk. Boleh bagi pertolongan dan sumbangan, tapi perlu ikut peraturan yang ditetapkan.

“Bantuan boleh disalurkan ke Pusat Pengumpulan Bantuan Awam, Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Felda Aring 10, Gua Musang atau Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Gua Musang,” katanya.