PDRM kaji gaji, elaun 82,000 anggota pangkat rendah

Abd Rahim (tengah) pada sidang media di IPK Kuantan di sini, hari ini.
Abd Rahim (tengah) pada sidang media di IPK Kuantan di sini, hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman akan mengemukakan kajian penambahbaikan gaji dan elaun membabitkan 82,000 anggota berpangkat rendah kepada pucuk pimpinan dan kerajaan.

Pengarah Pengurusan PDRM Bukit Aman, Komisioner Datuk Abd Rahim Jaafar berkata, laporan kajian itu akan disiapkan dalam tempoh dua bulan dan berharap mendapat kelulusan selewat-lewatnya tahun hadapan.

Menurutnya, cadangan ini akan meningkatkan taraf hidup anggota berpangkat sarjan ke bawah, sekali gus mengurangkan tekanan kerja dan meningkatkan integriti.

"Kita faham kerajaan menghadapi masalah kewangan tapi ini adalah hak anggota. Saya rasa kerajaan akan lebih ambil berat tentang perkara ini.

"Jumlah gaji yang tidak setimpal, elaun perumahan yang kecil menyebabkan mereka bertugas dalam keadaan tertekan ditambah kos sara hidup yang tinggi. Bahkan anggota juga bekerja dengan jumlah jam yang tinggi. Jika dipanggil, kita datang. Kerja 24 jam.

"Pihak pengurusan Bukit Aman mengambil pendekatan mengkaji kenaikan gaji dan elaun lain yang sepatutnya mereka terima membabitkan lebih kurang 82,000 anggota bawahan," katanya pada sidang media Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Pahang dan Pengerusi Perkep Kontinjen Pahang.

Majlis tersebut diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang dengan turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Pahang Datuk Mohd Yusri Hassan Basri yang akan jalani tugasan memangku.

Artikel Berkaitan:

Zakaria (duduk, empat kiri) bergambar kenangan sebelum memulakan tugas baharu di Bukit Aman.
Zakaria (duduk, empat kiri) bergambar kenangan sebelum memulakan tugas baharu di Bukit Aman.

Hadir sama, isteri beliau, Datin Junaidah Abdul Muti @ Asa'ari; mantan Ketua Polis Pahang, Komisioner Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad dan isteri Datin Sri Noor Amirzah Othman.

Mengulas kenyataan itu, Zakaria berkata, tiba masanya kerajaan mengkaji semula elaun logistik terutama perumahan yang berjumlah hanya RM300.

"Kos sewa rumah di Pahang amat tinggi menyebabkan anggota lebih memilih untuk tinggal di kuarters. Tapi kuarters juga tidak mencukupi dan uzur menyebabkan ada yang memilih untuk tinggal di luar bandar, walaupun bertugas di bandar.

"Kalau di bandar besar dengan elaun RM300 boleh sewa di setinggan sahajalah. Bandar Kuantan pun sewa dah mahal. Tak dapat dengan jumlah tu," katanya yang akan bertugas sebagai Pengarah Jabatan siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman.

Menurutnya, Pahang mempunyai kira kira 80 peratus anggota berpangkat rendah daripada 6,000 jawatan di negeri ini.

Minggu lalu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, gaji, logistik dan keperluan anggota polis berpangkat rendah akan diberi keutamaan dalam usaha meningkatkan integriti pasukan itu.

“Saya minta kerajaan untuk timbang balik, sebagaimana ia dinikmati oleh polis Jepun, Hong Kong, Singapura, New Zealand, Australia dan di negara-negara maju.

"Dengan meningkatkan gaji mereka ini saja dapat mengurangkan risiko rasuah dan godaan-godaan melakukan kesalahan ugut orang lain untuk mendapatkan duit dapat dikurangkan," katanya.