Lokman maki hamun polis ketika disiasat

A
A

1. Lokman maki hamun polis ketika disiasat

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam ditahan polis malam tadi susulan menghalang tugas polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, sekitar 6.45 petang pegawai dan anggota daripada Unit Siasatan Jenayah Terkelas, JSJ Bukit Aman dan Pasukan Forensik PDRM Bukit Aman sedang menjalankan siasatan bersabit kes Seksyen 504 Kanun Keseksaan di rumah Lokman di Kajang Hillpark.

Menurutnya, semasa siasatan dijalankan polis mengarahkan Lokman yang juga Pengerusi Sekretariat Suara Rakyat untuk menyerahkan telefon bimbit bagi diperiksa namun beliau enggan memberikan kerjasama dan telah menjerit serta memaki hamun pegawai polis yang sedang menjalankan tugas.

Turut bersama Lokman ketika itu adalah bekas Naib Presiden PKR, N Gobalakrishnan yang turut menghalang tugas polis dan mengherdik polis serta melakukan beberapa provokasi lain.

2. 85 peratus aduan bil TNB tinggi selesai

Tenaga Nasional Berhad (TNB) berjaya menyelesaikan 85 peratus atau lebih 15,000 kes berhubung kenaikan bil elektrik membabitkan aduan penggunanya di seluruh negara.

Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutifnya, Amir Hamzah Azizan memaklumkan, hanya tinggal 3,500 kes daripada 18,600 aduan diterima masih belum diselesaikan.

Ketika ditanya berhubung penalti yang akan dikenakan oleh Suruhanjaya Tenaga, Amir Hamzah memberitahu pihaknya masih belum menerima sebarang notis daripada suruhanjaya itu.

Tambahnya, tumpuan utama TNB sekarang ialah menyelesaikan masalah pengguna telebih dahulu.

3. Cadangan keluarkan jenayah bunuh diri daripada Kanun Keseksaan dikaji

Jabatan Peguam Negara diarah untuk mengkaji cadangan mengeluarkan jenayah cubaan bunuh diri daripada Kanun Keseksaan dalam usaha kerajaan menangani isu kesejahteraan mental yang semakin membimbangkan di Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata ia antara beberapa keputusan yang dibuat pada Mesyuarat Kesejahteraan Mental yang dipengerusikan beliau semalam.

Dr Wan Azizah berkata kemurungan merupakan ketidakupayaan yang utama dalam kalangan masyarakat Malaysia dengan kesan ke atas ekonomi Malaysia disebabkan penyakit mental dijangka mencecah US$25.3 bilion pada 2030.

4. 8 kubur Orang Asli Kuala Koh ditemui

Lapan kubur Orang Asli Batek dari Kuala Koh, sudah dijumpai setakat petang semalam, menjadikan baki empat lagi dalam pencarian.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, empat kubur terbaharu ditemui pasukan pencarian yang meneruskan operasi pada jam 8.30 pagi semalam.

Katanya lagi, operasi akan diteruskan hari ini bagi mengesan baki empat lagi kubur mereka yang jauh di pedalaman termasuk satu kubur yang dikatakan perlu menyeberangi Sungai Lebir.

5. Khairul Anuar mara ke final kejohanan memanah dunia

Pemanah negara, Khairul Anuar Mohamad mara ke pusingan akhir acara recurve individu lelaki Kejohanan Memanah Dunia 2019 di Hertogenbosch, Belanda semalam.

Beliau menewaskan pemanah dari Bangladesh, Md Ruman Shana 7-3 pada peringkat separuh akhir.

Pada pusingan suku akhir, atlet kelahiran Terengganu itu mengetepikan cabaran pemanah Amerika Syarikat, Jack Williams 7-3.

Lebih manis, pemanah dari Terengganu itu telah mengesahkan tempatnya ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo selepas mara ke separuh akhir.

Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia