Nekad ubah kehidupan selepas suami lumpuh

Perniagaan percetakan dilakukan Salmiza di rumah hasil ilmu dipelajari di Program Empower Majlis Wilayah Ekonomi Pantai Timur (Ecer) sedikit sebanyak membantunya.
Perniagaan percetakan dilakukan Salmiza di rumah hasil ilmu dipelajari di Program Empower Majlis Wilayah Ekonomi Pantai Timur (Ecer) sedikit sebanyak membantunya.
A
A
A

MERSING - Kehidupan seorang suri rumah di Taman Sri Mersing di sini berubah daripada tidak tahu apa-apa kini mempunyai kemahiran dalam pelbagai bidang selepas suaminya menjadi orang kurang upaya (OKU) akibat terlibat kemalangan.

Ibu kepada tiga orang anak, Salmiza Mahat, 47, berkata, desakan hidup membuatkan dia tekad untuk membantu suami mencari wang tambahan untuk menyara keluarga.

Menurutnya, suaminya, Mohazam Iqbal, 53, kini masih lagi menerima rawatan ekoran kesan dari kemalangan yang berlaku pada 20 tahun lalu ketika dalam perjalanan pulang dari kerja.

"Selepas terlibat kemalangan itu suami terlantar. Masa itu saya sangat buntu lebih-lebih lagi saya sedang mengandung anak kedua. Tambahan pula suami adalah tempat saya bergantung hidup sepenuhnya.

"Meskipun mendapat bantuan bulanan daripada Perkeso namun ia tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan kami dengan anak-anak yang masih kecil ketika itu.

"Jadi saya nekad pada awalnya saya ikuti kursus komputer meskipun sebelum ini tidak pernah tahu menahu tentang teknologi IT. Kemudian saya sertai kursus memasak diikuti kursus menjahit meskipun sebelum ini saya memang tidak minat menjahit tapi demi membantu suami saya pupuk minat itu," katanya kepada Sinar Harian.

Salmiza (kanan) bersama suaminya yang kini tidak dapat bekerja selepas terlibat kemalangan 20 tahun lalu.
Salmiza (kanan) bersama suaminya yang kini tidak dapat bekerja selepas terlibat kemalangan 20 tahun lalu.

Tambahnya, selain itu dia juga mengikuti kursus fotografi dianjurkan oleh Program Empower Majlis Wilayah Ekonomi Pantai Timur (Ecer) dan belajar teknik mengambil gambar serta editing dan percetakan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kini dengan bantuan kursus diikuti termasuklah dari Ecer dapat membantunya meneruskan kelangsungan hidup di kala suaminya tidak mampu melakukan apa-apa.

"Saya sekarang menjahit di rumah dan buat bisnes percetakan secara kecil-kecilan, Alhamdulillah ia membantu juga. Sekarang anak-anak semua sudah besar, dua orang anak melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi sementara seorang lagi baru menamatkan SPM.

"Suami juga sangat kuat semangat, pada awalnya doktor memberitahu bahawa suami akan lumpuh sepenuhnya. Selama dua tahun dia terlantar, empat tahun duduk di kerusi roda sebelum boleh menggunakan walking frame dan kini mampu menggunakan tongkat," katanya.