Bunuh isteri kerana cemburu

Suspek (kanan) mengaku membunuh isterinya kerana cemburu.
A
A

MAMUJU - Gara-gara cemburu, seorang lelaki hilang pertimbangan apabila tergamak membunuh isteri tercinta dalam kejadian di Sulawesi Barat, Indonesia.

Kejadian berlaku di daerah Campalagian, Polewali Mandar pada malam Selasa lalu.

Jurucakap polis Campalagian, Mustakim berkata, pelaku ialah seorang guru dikenali sebagai Nurdin berusia 33 tahun.

"Mangsa dikenali sebagai Wati berusia 45 tahun. Suspek mengaku gagal mengawal perasaannya apabila mangsa enggan bercakap jujur mengenai seorang lelaki yang kerap berkunjung ke rumah mereka.

"Kemarahan suspek semakin membuak-buak apabila mengetahui isterinya turut berbalas mesej menerusi aplikasi WhatsApp.

"Suspek bertindak mencekik leher isterinya sehingga wanita itu pengsan selepas berulang kali menafikan hubungannya dengan lelaki berkenaan," kata Mustakim.

Tambahnya, selepas mangsa pengsan suspek mengambil sebilah parang sebelum mengelar leher isterinya sebanyak dua kali.

Kes itu terbongkar selepas jasad mangsa ditemui ibu suspek, Rusdia yang turut tinggal bersama pasangan terbabit.

Nurdin yang melarikan diri sejurus pembunuhan itu bertindak menyerah diri di balai polis berhampiran.

Dia berdepan hukuman penjara 18 tahun. - Agensi