Perang tarif uji kekuatan Malaysia

A
A
A

KEKALUTAN isu perang tarif atau tarif punitif dikenakan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump terhadap China bakal mengundang kegawatan ekonomi yang sangat dahsyat. Morgan Stanley, sebuah bank investasi dan retail tersohor dunia, meramalkan Amerika akan terlebih dahulu dibelenggu kegawatan ekonomi.

Pada satu sisi yang lain, penulis mula membayangkan apa bakal berlaku kepada Malaysia rentetan daripada permasalahan dua kuasa ekonomi terbesar dunia ini. Sebagai seorang yang begitu rapat dengan industri kejuruteraan dan pembangunan fizikal, penulis merasakan Malaysia mungkin terkena biasan perang tarif antara Amerika-China.

Sehingga saat ini, Trump membayangkan beliau bersedia mengenakan satu lagi pusingan tarif punitif terhadap import China andai tidak meraih tanda positif dalam sesi rundingan perdagangan bersama Presiden China, Xi Jinping pada Sidang Kemuncak G20 di Osaka, Jepun pada 28-29 Jun ini.

Setakat ini, pentadbiran Trump telah mengenakan tarif terhadap barangan China bernilai hampir AS$200 bilion (RM830 bilion). China bertindak balas dengan mengenakan tarif barangan Amerika bernilai AS$60 bilion (RM249 bilion).

Dalam hal ini, sudah pasti semua negara di dunia termasuk Malaysia akan menjadi mangsa perang tarif Amerika-China. Sebenarnya, apa yang sedang berlaku ini telahpun ALLAH sebut dalam al-Quran.

Menerusi Surah At-Tiin [95:1-6], ALLAH memberi peringatan sinis yang bermaksud: “Demi (buah) Tin dan (buah) Zaitun, dan demi Bukit Sinai, dan demi kota (Mekah) ini yang aman, sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya. Kemudian Kami kembalikan mereka ke tempat yang serendah-rendahnya (neraka), kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh; maka bagi mereka pahala tiada putusnya.” Jika kita tahu di mana terdapatnya banyak buah tin dan zaitun serta lokasi Bukit Sinai, kita akan memahami apa maksud tersirat di dalam ayat di atas.

Impak

Perang yang sedang berlaku ini tidak membabitkan peluru hidup. Namun, kesannya begitu mendalam. Perang tarif, perang teknologi dan perang mental, membiaskan kesan yang sangat negatif kepada negara-negara kecil dan ia berkemungkinan turut dialami rakyat Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Di Singapura, perang tarif telah menyebabkan penduduk republik tersebut panik dan mula menjual telefon pintar keluaran Huawei Technologies Co Ltd. Tindakan itu gara-gara pentadbiran Trump mengharamkan semua syarikat multinasional Amerika termasuk aplikasi Google, Facebook dan Android, berurus niaga dengan Huawei.

Di Malaysia, kita belum merasakan impak daripada perang tarif. Namun, kita tidak seharusnya memperkecilkan permasalahan kerana dua gergasi ternama, Morgan Stanley dan Fitch Ratings telah membayangkan kekusutan yang bakal membelenggu dunia jika perang tarif berterusan.

Akan tetapi, elok rasanya kita menyelami pesanan ALLAH menerusi Surah Al-Qashash [28:4-5] bermaksud, “Sesungguhnya Firaun telah berbuat sewenang-wenang di muka bumi dan menjadikan penduduknya berpecah belah dengan menindas segolongan daripada mereka, menyembelih anak-anak lelaki dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya Firaun termasuk orang berbuat kerosakan; Dan Kami hendak memberi kurnia kepada orang-orang tertindas di bumi (Mesir) itu dan hendak menjadikan mereka pemimpin dan menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (bumi).

”'Gajah sama gajah bergaduh, pelanduk mati di tengah-tengah’. Peribahasa ini tepat untuk apa yang bakal berlaku kepada Malaysia sebagai antara negara kecil di dunia berbanding Amerika dan China. Sudah pasti Taiwan, Thailand and Vietnam antara negara yang terkesan hasil ‘perang dunia alaf baru’ Amerika-China ini.

Penulis cuba membayangkan apakah kesannya kepada sektor pembinaan yang sedikit sebanyak ada membeli barangan daripada Amerika dan China.

Justeru, penulis menyaran Malaysia segera berdikari dan tidak perlu bergantung kepada mana-mana negara pemeras. Malaysia perlu memperuntukkan dana untuk membangun kemahiran rakyat sendiri dan membangunkan produk keperluan sendiri.

Penulis percaya pentadbiran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempunyai resipi tersendiri untuk menyerap permasalahan ini daripada membelenggu urusan seharian di Malaysia.* Dr Ir Muhidin ialah Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor