Suami isteri nekad buka rumah perlindungan

Penghuni Rumah Perlindungan Fitrah Qaseh gembira menerima sumbangan pelbagai pihak sempena Syawal. Gambar kecil, Muhammad Fitri.
A
A

JOHOR BAHRU - Bermula sekadar membantu anak-anak gelandangan pada skala yang kecil bagaimanapun pasangan suami dan isteri ini nekad membuka sebuah rumah perlindungan yang menempatkan anak-anak yatim, asnaf dan gelandangan sejak lebih dua tahun lalu.

Rumah Perlindungan Fitrah Qaseh yang beroperasi di Taman Dato' Onn di sini kini menempatkan 48 penghuni berusia setahun hingga 22 tahun dalam kalangan mereka yang kurang bernasib baik.

Muhammad Fitri Abd Rashad, 42, bersama isterinya, Kamelia Arifin, 35, mengasaskan rumah berkenaan dengan bantuan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Pada awalnya kami hanya membantu anak gelandangan dalam tujuh ke lapan orang dan operasi kami di Majidee Park kira-kira empat tahun lalu. Lama-kelamaan penghuni semakin ramai menyebabkan kami menyewa di sini (Taman Dato' Onn) dan wujudkan rumah perlindungan ini,

"Sekarang terdapat 48 penghuni. Kebetulan isteri merupakan seorang kaunselor dan ditambah pula dia seorang yang penyayang dan suka pada budak-budak," katanya.

Menurutnya, rumah perlindungan itu beroperasi di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) dan kini dalam usaha mendaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat.

"Kos pengurusan dan penyelenggaraan rumah ini mencecah RM10,000 dan syukur banyak pihak membantu," katanya.