Kementerian Kesihatan digesa siasat kematian terbaharu rabies

No Image Caption
A
A
A

KUCHING - Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas menggesa Kementerian Kesihatan menyiasat kes terbaharu rabies membabitkan seorang wanita berusia 61 tahun yang meninggal dunia di sini, semalam.

Beliau berkata, siasatan perlu dibuat bagi memastikan tiada sebarang pelanggaran Prosedur Operasi Standard (SOP).

Uggah, yang juga Timbalan Ketua Menteri, berkata beliau rasa kurang senang apabila membaca sejarah kes wanita berkenaan dari Pending itu yang meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini.

"Dilaporkan doktor yang merawat mangsa gagal menghantar atau merujuk mangsa ke Klinik Rabies Kuching dengan serta-merta. Ini adalah kes kedua di Sarawak di mana doktor gagal merujuk pesakit yang digigit anjing ke Klinik Rabies,” katanya, dalam kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata, kes kecuaian adalah sangat serius dan tidak sepatutnya berlaku kerana adalah wajib untuk doktor mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, dalam kenyataan, hari ini, berkata wanita warga emas itu disahkan mengalami jangkitan rabies melalui ujian makmal yang dibuat oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) semalam.

Beliau berkata, wanita itu mempunyai sejarah digigit oleh seekor anjing liar di bahagian ibu jari tangan kanannya semasa mangsa cuba menghalau haiwan itu pada 29 April lalu.

Dr Noor Hisham berkata, warga emas itu dikatakan sudah mencuci luka itu selama lima minit dan terus mendapatkan rawatan di sebuah klinik komuniti berhampiran rumahnya serta diberi temu janji seminggu kemudian.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, katanya, mangsa tidak mendapatkan rawatan susulan seperti yang ditetapkan kerana berpendapat bahawa luka pada jarinya sudah sembuh tetapi pada 6 Jun lalu, mangsa mula mengalami sakit dan rasa tidak selesa di bahagian lengan tangan kanannya.

Wanita berkenaan kemudian mendapatkan rawatan di HUS pada 8 Jun dan dimasukkan ke Wad Penyakit Berjangkit serta diberikan Rabies Immunoglobulin (RIG), katanya.

Beliau berkata, dengan pengesahan kes baharu itu, jumlah kes rabies di Sarawak sejak wabak diumumkan pada 1 Julai 2017 adalah 19 kes setakat semalam dengan 18 kematian.

Katanya, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak sudah mengeluarkan peringatan kepada semua pengamal perubatan di negeri ini supaya memastikan pengurusan kes gigitan haiwan termasuk anjing dijalankan mengikut Garis Panduan Pengurusan Kes Gigitan Haiwan. - Bernama