X

Kindly register in order to view this article
!

Tourism Malaysia komited bantu promosi Zoo Negara

Zoo Negara - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Tourism Malaysia akan bekerjasama dengan pihak berkaitan untuk mempromosi dan meningkatkan semula jumlah kehadiran pengunjung ke Zoo Negara.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof berkata, pihaknya akan berusaha membantu membangunkan Zoo Negara, selain mencadangkan dilakukan pembaharuan untuk memenuhi kepuasan pengunjung yang menginginkan kelainan.

“Kami akan duduk bersama mereka (Zoo Negara dan agensi pelanconan) untuk membincangkan perkara ini kerana mereka (pengunjung) mahukan sesuatu yang baharu tetapi (pada masa ini) ia hanya sebuah zoo biasa.

"Sebagai contoh, haiwan sangat aktif pada waktu malam, jadi kami mungkin cadangkan mereka wujudkan Night Safari," katanya kepada pemberita selepas hadir ke majlis pelancaran ‘Discover Kuala Lumpur’ di sini, hari ini.

Musa berkata mempromosikan Zoo Negara adalah penting, kerana ia merupakan salah satu tarikan pelancong dan destinasi Cuti-Cuti Malaysia, terutamanya kepada pengunjung domestik selaku penyumbang terbesar.

Mei lalu, Bernama melaporkan pengunjung ke Zoo Negara semakin berkurangan dari tahun ke tahun, kerana menghadapi pelbagai isu dan persepsi negatif seperti keadaan zoo yang kurang menarik, serta haiwan yang kurus dan tidak aktif.

Untuk rekod, jumlah kehadiran pengunjung ke Zoo Negara tahun lepas adalah sebanyak 368,098 orang. Pada tahun ini sehingga Mei lepas, jumlah pengunjung adalah 116,352 orang.

Sementara itu, ‘Terokai Kuala Lumpur’ satu pakej pelancongan terkini untuk penumpang transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 dengan masa menunggu sekurang-kurangnya lapan jam akan memberikan pengalaman dan lawatan ringkas ke ibu negara dengan cara paling pantas dan lawatan bandar yang lebih santai.

Pakej yang dilancarkan Menteri Pelancongan, Seni dan Kebudayaan Datuk Mohamaddin Ketapi itu merupakan kerjasama antara Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) dan bas KL Hop-On Hop-Off

Musa berkata, inisiatif ini dilakukan oleh beberapa pihak swasta dalam usaha mereka mempromosikan pelancongan dalam negeri dan perhubungan perjalanan mudah ke bandar raya, dengan harapan akan dapat menarik pelancong menjadikan Malaysia sebagai destinasi mereka bagi percutian di masa akan datang.

Harga pakej ini RM140 untuk dewasa dan RM65 bagi kanak-kanak berumur dua hingga 12 tahun. Lawatan itu akan dikendalikan dalam bahasa Inggeris dengan dua pilihan perjalanan - Laluan Taman dan Laluan Bandar. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!