LZS salur RM5.78 j bantuan zakat

6
6
A
A
A

KLANG - Sebanyak RM5.78 juta bantuan zakat disalurkan kepada 356 asnaf fakir dan miskin di Selangor menerusi Bantuan Pembelian Rumah Kosong Rendah dan Bantuan Modal Perikanan.

Ketua Pegawai Penyelaras Lembaga Zakat Selangor (LZS), Abdul Basith Hamid berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM5.02 juta disalurkan kepada 104 asnaf fakir dan miskin untuk membeli 104 rumah kos rendah bernilai antara RM35,000 hingga RM50,000 sebuah.

Pembelian rumah berkenaan mendapat kerjasama dari Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).

“Ia bagi menyantuni asnaf fakir dan miskin khususnya mereka yang sebelum ini hanya menyewa dalam tempoh lama serta mempunyai masalah membuat pinjaman bank.

“Melalui bantuan ini, ia memberikan jaminan kemudahan tempat tinggal lebih selesa kepada golongan terbabit, " katanya dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Bantuan Pembelian Rumah Kos Rendah dan Bantuan Perikanan Bagi Asnaf Fakir dan Miskin LZS, di Dewan Hamzah MPK, di sini, hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua MPK, Datuk Mohamad Yasid Bidin, Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan (LKIM) Selangor dan wakil LPHS.

Katanya, kediaman menjadi faktor utama pendorong kepada kemiskinan di bandar.

“Sewa rumah paling rendah di bandar antara RM800 hingga RM1,000, bayangkan jika pendapatan keluarga ini hanya RM3,000 ke RM5,000, RM1,000 digunakan untuk membayar sewa.

Artikel Berkaitan:

“Jadi lebihan itu akan digunakan untuk keperluan lain. Dengan memberikan rumah kepada mereka, ia dapat meringankan beban dan memberi ketenangan minda mereka daripada memikirkan kaedah untuk membayar sewa dan sebagainya,” katanya.

Tambah Abdul Basith, sehingga November lalu, LZS menyalurkan bantuan berjumlah RM4.7 juta untuk Bantuan Pembelian Rumah kepada asnaf fakir, miskin dan mualaf melibatkan 299 unit.

“Kita turut menyalurkan Bantuan Rumah Sewa kepada 9.577 penerima melibatkan RM41.8 juta, Bantuan Bina Rumah sebanyak RM11.6 juta bagi 222 rumah serta RM10.7 juta Bantuan baik Pulih Rumah melibatkan 468 rumah,” katanya.

Ujar beliau lagi, seramai 252 asnaf turut menerima bantuan modal perikanan bernilai RM756,000 dengan kerjasama LKIM.

“Setiap mereka ini akan menerima bantuan sebanyak RM3,000 berupa peralatan perikanan.

“Dengan bantuan ini diharap kekangan mereka untuk turun ke laut dapat dikurangkan dan dapat berusaha sama seperti nelayan lain,” katanya.