Wanita PKR dididik untuk tidak tunduk dan mengalah...'

Haniza Talha
A
A

SHAH ALAM - Wanita PKR dididik untuk tidak tunduk dan mengalah, malah lebih kuat bersuara sekiranya nasib dan hak wanita di negara ini terus dicabar.

Ketua Wanitanya, Haniza Talha berkata, ini berdasarkan dengan kelantangan suara wanita PKR yang terus bersuara memperjuangkan nasib wanita Malaysia.

Katanya, wanita PKR jadi suara sebenar wanita Malaysia, dengan setiap tindakan yang mereka laksanakan demi kepentingan wanita di negara ini.

"Dari isu eksploitasi wanita Penan, perkahwinan kanak-kanak, keganasan rumah tangga, penglibatan wanita dalam pembangunan sosio-ekonomi dan banyak lagi, Wanita PKR adalah yang paling lantang bersuara dalam semua hal," katanya dalam ucapan dasar sempena kongres Nasional Tahunan Wanita PKR kali ke-13 di sini, hari ini.

Katanya, dalam isu eksploitasi gadis Penan, atas tindakan dan desakan mereka pada ketika itu, isu ini bukan sahaja telah mendapat perhatian kerajaan pemerintah, tetapi juga sehingga ke peringkat antarabangsa.

"Begitu juga dengan isu perkahwinan kanak-kanak, yang mana apabila perkara tersebut sampai ke pengetahuan para kepimpinan Wanita PKR, kita merupakan yang pertama memberikan respon dan tekanan kepada pihak kerajaan untuk mengambil tindakan sewajarnya," katanya.

Jelasnya, suara Wanita PKR yang sebegitu lantang dengan sifat peduli kepada permasalahan rakyat, banyak perkara yang telah diubah atas desakan yang keluar dari pemimpin-pemimpin wanita PKR.

"Tiada isu yang taboo bagi Wanita PKR! Selagi ia memberi kesan kepada wanita Malaysia, selagi itu Wanita Keadilan akan terus bersuara.

"Ini merupakan legasi yang akan disambung dengan kepimpinan akan datang, sekaligus akan menetapkan iltizam, memastikan Wanita PKR terus mara memperjuangkan hak, nasib dan masa hadapan wanita di Malaysia," katanya.

Dalam pada itu katanya, Wanita PKR telah menjadi pencetus kepada pelbagai inisiatif baru dalam usaha pemberdayaan dan menjadi penggerak kepada agenda untuk memartabatkan wanita.

"Pada tahun 2008, kita merupakan organisasi politik pertama di negara ini yang menyeru agar wujudnya kuota 30 peratus untuk wanita diletakkan di peringkat pembuat keputusan.

"Ini merupakan satu batu asas di dalam senario politik Malaysia kerana sebelum ini tiada parti politik yang berani membawakan usul ini kepada umum," katanya.

Jelasnya, tidak terhenti dari skop politik (ahli parlimen dan adun) sahaja, kuota 30 peratus ini mereka sebarluaskan ke peringkat lain seperti kepimpinan wanita di sektor kerajaan persekutuan, kerajaan negeri, ahli majlis kerajaan tempatan dan juga dalam sektor korporat.

"Sungguhpun masih belum lagi dicapai, kuota 30 peratus untuk wanita diletakkan sebagai perwakilan dan di posisi pembuat keputusan, kita berbangga dapat melihat perubahan yang lebih baik dan signifikan dalam memastikan wanita tidak ketinggalan di dalam arus pembangunan pesat negara," katanya.

Katanya, usaha berterusan Wanita PKR untuk merapatkan jurang kesaksamaan gender di negara ini akan terus dilaksanakan, ini termasuk memberikan cadangan-cadangan baru kepada pihak Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri demi memartabatkan lagi wanita Malaysia.