Ada ruang kolaborasi KBS, pejabat mufti

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melihat ada ruang untuk kerjasama perkongsian input serta pandangan bersama Pejabat Mufti dalam membina silibus untuk diterapkan ke dalam program Sekolah Pemimpin Masa Depan atau Malaysian Leader Future School (MLFS).

Timbalan Menterinya, Steven Sim berkata, pandangan daripada pelbagai pihak termasuk mufti dilihat antara komponen penting dalam penyediaan silibus khususnya berkenaan aspek nilai kemasyarakatan di negara ini.

“Di KBS, antara isu yang hangat dibincangkan semasa persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara ialah berkenaan MLFS iaitu sebuah program baharu yang akan dimulakan tahun depan bagi menggantikan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

“Saya rasa dalam aspek ini antara perkara utama yang kita nak terapkan ialah nilai-nilai kemasyarakatan di negara kita.

“Perkara ini saya lihat ada ruang untuk pihak KBS berkolaborasi bersama Pejabat Mufti untuk menyediakan satu isi kandungan program berkenaan nilai seperti kerharmonian, kejujuran, amanah dan sebagainya,” katanya kepada pemberita ketika kunjungan ke Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, hari ini.

Beliau bersama Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh meluangkan masa kira-kira sejam bertemu Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Selain itu, Steven menjelaskan program MLFS adalah antara program utama KBS yang akan dilaksanakan bagi memupuk generasi muda sebagai pemimpin depan di Malaysia.

“Dijangkakan ia dapat dilaksanakan bermula tahun depan dan kita akan mulakan program ini kepada peringkat umur 15 hingga 17 tahun,” katanya.

Artikel Berkaitan: