Pura-pura nak beli, larikan gelang emas bernilai RM10 ribu

Wajah suspek yang melarikan barangan kemas dari sebuah kedai di Jalan Temenggong Selasa lalu tular di laman sosial.
Wajah suspek yang melarikan barangan kemas dari sebuah kedai di Jalan Temenggong Selasa lalu tular di laman sosial.
A
A
A

KOTA BHARU - Dua wanita berpura-pura sebagai pelanggan yang mahu membeli barangan kemas di sebuah kedai emas di Jalan Temenggong di sini Selasa lalu sebelum melarikan dua utas gelang bernilai RM10,000.

Kejadian berlaku pada jam 3.15 petang ketika pemilik kedai emas berkenaan Che Asiah Hassan,56, sedang melayan suspek terbabit.

Menceritakan kejadian itu, anak mangsa, Muhammad Ariff Redhuan Ariffin,18, berkata sebelum itu ibunya yang berada di premis berkenaan didatangi dua wanita bertudung yang mahu membeli gelang emas dalam anggaran RM10,000.

“Dua perempuan itu datang dan masuk ke dalam kedai sebelum seorang daripada mereka memberitahu ibu saya bahawa dia nak beli gelang emas untuk diri sendiri dan kawan yang datang bersamanya itu.

“Ibu kemudian tanya anggaran bajet yang mereka dan mengeluarkan tiga utas rantai tangan ke atas meja pameran.

“Meraka kata duit hanya ada RM6,000 dan berkata hendak ke bank berdekatan untuk mengambil wang mereka,” katanya.

Menurutnya, setengah jam kemudian suspek yang memakai tudung berwarna merah bersendirian datang semula ke kedai menyatakan persetujuan untuk membeli gelang emas yang ditunjukkan itu.

“Ibu saya pun keluarkan gelang-gelang tadi daripada laci pameran dan letakkan ke atas meja sebelum suspek menyuruh ibu mengira jumlah yang perlu dibayar.

Artikel Berkaitan:

“Ketika ibu pusing hendak ambil resit bayaran itulah suspek tadi mengambil dua gelang dan terus melarikan diri,” katanya.

Muhammad Ariff berkata kejadian itu turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang ada di dalam premis itu dan memaparkan secara jelas wajah kedua-dua wanita berkenaan.

Rakaman turut tular di laman sosial dan menerima pelbagai reaksi daripada netizen.

Mangsa kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Kota Bharu untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Noor Halim Nordin mengesahkan menerima laporan dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

“Usaha menjejaki dua wanita tersebut diteruskan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Polis turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian supaya menghubungi balai-balai berdekatan atau suspek sendiri tampil kepada pihak polis,” katanya.