Pelancong asing terjun Sungai Melaka kembali tular

Video berdurasi 12 saat itu dimuat naik oleh individu di laman sosial Facebook dan seterusnya menjadi tular sejak petang semalam. Gambar kecil: Azlan Abidin
Video berdurasi 12 saat itu dimuat naik oleh individu di laman sosial Facebook dan seterusnya menjadi tular sejak petang semalam. Gambar kecil: Azlan Abidin
A
A
A

MELAKA - Video di Facebook memaparkan sekumpulan pelancong asing terjun dan berenang di Sungai Melaka adalah rakaman lama yang dibuat sekitar Januari lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Azlan Abidin berkata, menerusi satu siasatan yang dibuat mendapati kejadian tersebut sebagai acara gimik sempena pembukaan sebuah premis makanan dan minuman di tebing Sungai Melaka.

“Kami sudah menemui pemilik premis terbabit dan kejadian itu dikatakan berlaku pada 18 Januari lalu, semasa pembukaan sebuah kedai cendol, ianya dianggap sebagai gimik dan bukannya kejadian yang baharu berlaku,” katanya ketika diminta mengulas mengenai rakaman video tersebut hari ini.

Video berdurasi 12 saat itu dimuat naik oleh individu di laman sosial Facebook dan seterusnya menjadi tular sejak petang semalam.

Azlan menegaskan pihaknya juga sudah memasang beberapa papan tanda mengenai larangan bermandi-manda dan menjalankan sebarang aktiviti tanpa kebenaran di sepanjang Sungai Melaka.

“Nasihat saya kepada orang ramai dan pengunjung supaya tidak mengulangi perbuatan ini dan sekiranya masih berlaku pihak kami tidak teragak-agak membuat laporan polis.

“Memang kita di PPSPM tiada sebarang kuasa untuk mengambil tindakan melainkan menyerahkannya kepada polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kami juga ada menubuhkan unit khas dinamakan Unit Bantuan Kecemasan yang ditugaskan untuk memantau sebarang aktiviti di sepanjang Sungai Melaka mulai jam 9 pagi hingga 1.30 pagi setiap hari,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, kejadian tersebut adalah yang kedua selepas satu rakaman video memaparkan sekumpulan warga asing berseronok dalam keadaan berbogel telah menjadi tular di laman Facebook sehingga mengundang pelbagai reaksi pengguna laman sosial itu pada Oktober tahun lalu.