X

Kindly register in order to view this article
!

Bazar Karat kekal sebagai produk pelancongan JB

Cai Tung (dua dari kanan) melihat persembahan drum yang disediakan di Muzium 24 Festive Drum di Jalan Tan Hiok Nee hari ini.
A
A

JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor cenderung mengekalkan bazar karat di sini sebagai produk pelancongan di bandar raya ini.

Exco Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Liow Cai Tung berkata, pihaknya mencadangkan para peniaga di situ menjual produk yang beridentitikan negeri ini.

“Berhubung perkara (penutupan bazar karat) ini, saya serahkan kepada Datuk Bandar. Tetapi bagi saya yang lebih diutamakan adalah hasil penjualan produk atau makanan yang beridentitikan Johor.

“Pandangan saya, memandangkan bazar karat yang diletakkan di kawasan tumpuan pelancong dan bandar raya ini, peniaga digalakkan menjual barang ikon negeri bagi menarik kehadiran pelancong," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas terdapatnya ura-ura menyatakan bahawa bazar karat bakal ditutup pada sidang media perasmian Muzium 24 Festive Drum di Jalan Tan Hiok Nee di sini hari ini.

Menurutnya, perbincangan lanjut akan diadakan bersama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru, Datuk Amran A Rahman berikutan kawasan tumpuan pelancong itu di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

“Disebabkan bazar karat terletak di bawah MBJB, apa sahaja berkaitan kawasan perniagaan mahupun pembangunan dan tambah baik infrastruktur ini adalah atas rancangan dan perbincangan lebih lanjut bersama PBT itu," katanya.

Dalam pada itu, Cai Tung berkata, Muzium 24 Festive Drum itu dijangka siap sepenuhnya pada Oktober ini dan dilihat mampu menjadi tarikan baharu di bandar raya ini menjelang Tahun Melawat Johor 2020.

“Sempena Tahun Melawat Johor 2020, kita menyasarkan sekurang-kurangnya 17 juta pelancong masuk ke negeri ini berbanding kemasukan sebanyak 15 juta yang dicatatkan pada tahun lalu.

“Pelancong dari Singapura menjadi penyumbang tertinggi ke negeri ini diikuti pelancong dari China dan Indonesia,” katanya.

Terdahulu, Muzium 24 Festive Drum adalah bangunan tiga tingkat yang meliputi kafe, kelas drum dan muzium yang memaparkan sejarah 24 festival yang diamalkan masyarakat Cina sejak 7,000 tahun dahulu.

Bangunan dengan keluasan 464.52 meter persegi itu mampu memuatkan sehingga 190 orang pada satu masa, selain kedudukannya yang strategik iaitu terletak di tengah bandar raya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!