Terengganu 'lubuk' kereta klon

Zulkarnain (tengah) memeriksa sebahagian daripada 47 kenderaan yang akan dilelong pada 30 Jun ini.
Zulkarnain (tengah) memeriksa sebahagian daripada 47 kenderaan yang akan dilelong pada 30 Jun ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Keinginan memiliki kenderaan mewah selain terpedaya dengan tawaran harga yang murah menjadikan Terengganu ibarat 'lubuk' kereta klon dan tersenarai antara negeri tertinggi terlibat dalam aktiviti membabitkan kenderaan itu.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu, Zulkarnain Yasin berkata, sejumlah 307 buah kenderaan klon di kesan di negeri ini sejak 2015 sehingga kini.

"Kita mengesan sebanyak 307 kenderaan klon pelbagai jenama yang berada di Terengganu sejak 2015. Kebanyakan kereta klon yang dikenal pasti mempunyai ciri-ciri kenderaan mewah.

"Kita tidak menolak kemungkinan lambakan kereta klon ini hasil aktiviti sindiket yang terlibat menjalankan urus niaga kereta klon di negeri ini," katanya pada sidang media hari ini.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, pihaknya mengesan modus operandi yang digunakan bagi penawaran kenderaan klon itu menggunakan media sosial serta ejen.

"Terdapat banyak cara digunakan untuk memasarkan kenderaan klon ini, ada yang dikesan menggunakan laman sosial untuk menjual kereta klon.

"Antara kenderaan klon yang dikesan ialah daripada model Mercedes Benz, Volkswagon, Honda, Toyota, Mini Cooper, Subaru dan Volvo," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, JPJ Terengganu akan mengadakan siri lelongan awam pada 30 Jun ini membabitkan sebanyak 47 buah kenderaan dengan 20 daripadanya adalah daripada kenderaan klon.

Artikel Berkaitan:

"Daripada 47 buah kenderaan itu, 18 buah adalah motosikal, sembilan buah kenderaan sita dan 20 buah kereta klon.

"Jenis kenderaan klon yang akan dilelong ialah sebanyak lima buah kereta daripada model Honda Odessey, Honda Jazz (4), Honda Stream (3), Honda City (1), Toyota Wish (2) Subaru Impreza (3), Subaru Forester (1) dan Nissan Sentra (1).

"Harga lelongan bermula RM70 hingga RM900 bagi motosikal manakala bagi kereta sita bermula RM350 hingga RM3,500. Harga bagi kereta klon pula RM1,500 hingga RM15,000 bergantung pada pasaran dan keadaan visual serta sistem kereta," katanya.