X

Kindly register in order to view this article
!

Pulau Kapas destinasi pelancongan taraf antarabangsa

Ariffin (dua, kanan) diiringi Tun Ahmad Faisal (dua, kiri) ketika melawat Pulau Kapas.
A
A

MARANG - Pulau Kapas yang terletak kira-kira enam kilometer dari jeti Marang mempunyai keindahan tersendiri yang merupakan destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa.

Namun, di sebalik semua keindahan semula jadi, tidak dinafikan 'permata' itu memerlukan kemudahan infrastruktur yang diberi nafas baharu bagi menampung keperluan lebih ramai pelancong.

Dalam menuju ke arah pembangunan industri pelancongan, kerajaan negeri tidak mahu berlengah dengan mengumumkan beberapa projek pembangunan baharu berjumlah RM350,000 di pulau itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan Dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, projek pembangunan baharu itu dijangka akan bermula pada Julai depan.

Beliau berkata, kerajaan negeri menerusi Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) telah meluluskan peruntukan tersebut bagi kerja-kerja membaik pulih dan pembinaan kemudahan pelancongan

Menurutnya, projek di pulau seluas 260 hektar itu dijadualkan siap sebelum musim tengkujuh ini dan turut membabitkan pemasangan lampu solar (solar street lighthing) di sekitar kawasan terbabit.

“Kerajaan negeri telah meluluskan bajet segera untuk kerja membaik pulih laluan pejalan kaki termasuk tangga dan susur tangan semuanya bernilai RM200,000, selain ‘rubber fender’ di jeti akan turut dipasang.

“Ini juga termasuk fasiliti surau, tandas dan bumbung jeti akan dinaik taraf. Sementara itu, laluan, papan tanda, kemudahan wakaf serta 'jungle trekking' akan dibaiki mengikut kesesuaian tempat pelancongan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan ke Pulau Kapas, di sini petang semalam. Hadir sama, Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak.

Dalam pada itu, ADUN Alor Limbat itu turut mengulas tentang aduan masalah elektrik di pulau berkenan yang dikatakan mampu untuk menjejaskan kehadiran pelancong dalam jangka masa panjang.

"Isu berkenaan akan diselesaikan dengan peruntukan sebanyak RM1 juta yang secara dasarnya telah dipersetujui oleh Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

“Saya dimaklumkan Pejabat Daerah Marang telah memohon peruntukan daripada UPEN untuk menggantikan sistem solar hibrid kepada penggunaan genset sebanyak dua unit," katanya.

Beliau berkata, penggunaan genset akan menjimatkan kos, di samping turut membantu pengusaha chalet mengembangkan perniagaan mereka dan menampung pertambahan pelancong ke Pulau Kapas.

"Ini seterusnya akan dapat meningkatkan jumlah pelancong ke Terengganu malah masalah sistem perparitan di pulau ini juga akan diselesaikan, ini untuk projek jangka masa panjang kita,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!